JKSM dedah kegiatan scam poligami

Mohd Na'im ditemubual Haslina dalam program LiveFB Sinar Harian bertajuk Pendedahan Scam Poligami di Shah Alam pada Jumaat.
Mohd Na'im ditemubual Haslina dalam program LiveFB Sinar Harian bertajuk Pendedahan Scam Poligami di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mendedahkan beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya kegiatan pemalsuan atau scam poligami melibatkan pihak suami, peguam syarie dan ‘orang dalam’ institusi kehakiman syariah.

Beliau mengakui, terdapat beberapa fail yang beliau tahu di mana tandatangan isteri pertama dipalsukan atau suami menipu alamat rumah isteri pertama.

“Saya tidak nafikan apabila ada ruang yang terbuka, kemungkinan timbul ‘orang dalam’ yang bekerjasama dengan mana-mana kakitangan mahkamah termasuklah hakim dengan pihak-pihak suami itu.

“Di pihak saya sebagai Ketua Pengarah apa yang boleh saya buat adalah memberi amaran dan mengingatkan tentang amanah hakim-hakim, peguam syarie dan kakitangan tentang tanggungjawab serta amanah mereka.

“Bagaimanapun kita akan membuat siasatan contohnya beberapa minggu lalu kita ada terima aduan mengenai scam poligami dan kita dapati ada penipuan berkaitan tandatangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Kata Mohd Na’im, JKSM juga meminta pihak isteri pertama yang berdepan dengan kes seperti pemalsuan tandatangan turut membuat aduan kepada pihak polis dan jika mengetahui mengenai salah guna kuasa atau rasuah boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau malam tadi hadir dalam program LiveFB Sinar Harian bertajuk Pendedahan Scam Poligami yang dihoskan oleh Haslina AR Kamaluddin.

Dalam pada itu, Na’im turut menyenaraikan negeri-negeri berlakunya kes pemalsuan dokumen antaranya Kuala Lumpur, Perlis dan Terengganu.

Artikel Berkaitan:

“Yang ini yang dimaklumkan kepada saya,” katanya.

Bagaimanapun, Na’im menambah, sehingga kini pihak JKSM belum menerima lagi kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan kakitangan mahkamah atau hakim-hakim.

“Saya ada dengar, cuma tidak ada sabitan. Yang banyak saya terima kes ialah ejen-ejen di luar (sindiket/ejen kahwin poligami),” katanya.

Dalam pada itu, mengulas lanjut dari segi tindakan, Mohd Na’im berkata, antara tindakan paling serius yang boleh dikenakan pihak pentadbiran sekiranya ada hakim dan kakitangan terlibat dalam rasuah serta salah guna kuasa adalah buang kerja.

“Kalau katakan di pihak dalaman kita boleh ambil tindakan tatatertib. Kalau benda macam ini serius kita ada beberapa hukuman yang paling serius termasuklah buang kerja.

“Itu secara pentadbiran. Di pihak polis, pemalsuan tandatangan itu kesalahan jenayah, manakala di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Seksyen 38, ada satu hukuman jenayah syariah kepada mana-mana pihak memberikan keterangan palsu,” jelasnya.

Akhbar Sinar Harian pada Jumaat mendedahkan kebimbangan pelbagai pihak berikutan peningkatan kes pemalsuan dokumen poligami yang mengancam institusi keluarga dan kehakiman syariah negara ini.