Rozaid Rahman KP baharu Sinar Harian

Rozaid Abdul Rahman
Rozaid Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Grup Sinar Karangkraf hari ini mengumumkan pelantikan wartawan dan pengarang veteran, Rozaid Abdul Rahman sebagai Ketua Pengarang Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Pengisiannya yang baharu.

Rozaid, 56, sebelum ini ialah Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star.

Beliau menggantikan Allahyarham Datuk Baharom Mahusin, 54, yang meninggal dunia pada November lalu.

Pengerusi, Pengarah Urusan dan Penerbit Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, Rozaid akan bertanggungjawab mengurus dan merancang kandungan edisi cetak Sinar Harian dan juga kandungan platform digitalnya.

“Beliau seorang yang berpengalaman luas dan telah berada dalam industri ini selama 36 tahun serta mempunyai kelebihan menerajui media cetak dan juga digital.

“Kita berharap pengalaman luasnya itu akan membantu membawa Sinar Harian ke peringkat seterusnya,” kata beliau.

Rozaid memulakan kerjayanya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Pada Disember 1989, beliau mencatat sejarah sebagai wartawan Malaysia yang pertama memasuki terowong yang dibina oleh anggota-anggota Parti Komunis Malaya (PKM) di sempadan Malaysia-Thailand sejurus selepas termeterainya perjanjian damai di antara PKM dan kerajaan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga adalah di antara wartawan Malaysia yang pertama menemuramah Setiausaha Agung PKM, Chin Peng dan Komander Regimen Ke-10 PKM, Rashid Maidin di Haadyai, Thailand.

Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai Ketua Pemberita Kumpulan Utusan dan dua tahun kemudian sebagai Pengarang Berita.

Beliau kemudiannya menyertai perkhidmatan awam sebagai setiausaha akhbar kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan selepas itu Menteri Pengajian Tinggi.

Pada tahun 2009, Rozaid kembali menyertai industri media sebagai Pengarang Bersekutu dan kemudian Pengarang Eksekutif The Star dengan tanggungjawab antara lain membangunkan platform digital bahasa Malaysia, mStar Online.

Sepanjang kerjayanya sebagai wartawan, beliau pernah menemuramah secara eksklusif Perdana Menteri Thailand, Perdana Menteri Malaysia dan juga Yang di-Pertuan Agong di samping membuat liputan Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan Pergerakan G-20 di Senegal, Afrika.