PKPB Mukim Peringat, Mukim Kota di Kota Bharu bermula esok

Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Mukim Peringat dan Mukim Kota di Kota Bharu, Kelantan mulai esok sehingga 17 Januari.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu bertujuan membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan saringan bersasar selain mengurangkan pergerakan dalam kalangan penduduk di kedua-dua lokaliti.

“KKM melaporkan terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di daerah Kota Bharu. Dua mukim tersebut menyumbang kes tertinggi melibatkan dua kluster utama iaitu Kluster Halban dan Kluster Pintu Geng.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di kedua-dua mukim tersebut,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki hari ke-292 pada Ahad.

Beliau turut mengumumkan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Depot Tahanan Imigresen Langkap dan Kuarters Daerah Hilir Perak di Perak pada Ahad lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 14 Januari.

“Sehingga kini, KKM selesai menjalankan ujian saringan ke atas semua tahanan dan kakitangan. KKM mengesahkan kes positif harian di depot tahanan itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal serta tiada lagi sampel menunggu keputusan,” katanya.

Mengulas penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard Covid-19, Ismail Sabri berkata, 434 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan PKP dengan 422 dikenakan kompaun, manakala 12 direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (153), aktiviti pusat hiburan (149), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (68), tidak memakai pelitup muka (60) dan lain-lain (empat).

Artikel Berkaitan:

Berkaitan Op Benteng pula, beliau berkata, 43 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan seorang tekong ditahan pada Sabtu, manakala lima kenderaan darat dirampas.

Menyentuh kuarantin wajib, katanya, sejak 24 Julai sehingga Sabtu, seramai 96,924 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 76 hotel serta 16 Institut Latihan Awam (ILA) dan institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,490 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 88,894 individu dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama