UMNO Ketereh gesa amalan politik muafakat terus diperteguhkan

Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hadir mesyuarat perwakilan bahagian di Ketereh pada Sabtu.
Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hadir mesyuarat perwakilan bahagian di Ketereh pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Ketereh mengusulkan amalan politik muafakat mesti terus diperteguhkan dalam UMNO.

UMNO Bahagian Ketereh melalui satu kenyataan pada Sabtu memaklumkan, hanya dengan kuasa politik Melayu Islam yang utuh sahaja mampu untuk menjamin kesinambungan membela agama serta bangsa Melayu di Malaysia.

Kenyataan menyebut, mesyuarat perwakilan bahagian turut mengakui kuasa politik orang Melayu sentiasa terancam dan dilihat berpunca daripada perpecahan masyarakat sesama bangsa Melayu dan bumiputera.

"Menyedari UMNO adalah wadah politik Orang Melayu yang ditubuh dengan matlamatnya seperti termaktub dalam perlembagaan, membela kepentingan dan hak bangsa Melayu dan kaum bumiputera, Islam dan Raja Berperlembagaan serta hak rakyat yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.

"Sehubungan itu, UMNO Bahagian Ketereh mencadangkan untuk terus memastikan pemerintahan kerajaan Malaysia berteraskan kepada kuasa politik orang Melayu dan bumiputera yang bekerjasama dengan semua kaum bagi menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam tanpa meminggir hak kaum dan agama lain.

"Kita juga konsisten kekal dengan pendirian sepertimana diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang iaitu menolak kerjasama dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 'No DAP, No Anwar' atau sesiapa sahaja bersekongkol dengan DAP," kata kenyataan berkenaan.

Kenyataan yang sama turut menyebut bahawa parti itu terus teguh dalam menjunjung dan memperjuang keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan berasaskan Kedaulatan Undang-undang Negara dengan teras utamanya.

Selain itu, katanya, mereka turut mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan Raja-Raja Melayu dipertahan selain keistimewaan orang Melayu dan bumiputera dipelihara.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga sepakat mengusulkan supaya UMNO memperkukuh dan memperteguh ikatan silaturahim bukan sahaja dalam kalangan ahli UMNO tetapi turut mengeratkan kerjasama dalam kalangan Melayu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Melayu tanpa meminggirkan hak kaum lain atas semangat 'negara bangsa Malaysia tercinta'.

"Kita menyedari perpecahan dalam kalangan parti dan orang Melayu mengundang musibah, membawa kehancuran kepada semua pihak.

"Justeru, kesatuan serta perpaduan kukuh amat penting untuk mendepani apa-apa cabaran termasuk PRU15 akan datang,” katanya.