Kalimah ALLAH: Saifuddin gesa ahli politik tidak belakangkan fakta

Saifuddin Nasution menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Zaaba Abd Hamid (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan JPN di Puspanitapuri pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Mohd Zaaba Abd Hamid (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Persaraan JPN di Puspanitapuri pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa ahli politik agar tidak membelakangkan fakta mengenai isu kalimah ALLAH.

Ujarnya, mahkamah tidak pernah membuat keputusan mengenai soal agama sebaliknya ia percanggahan arahan pentadbiran dengan keputusan kabinet pada 1986.

"Saya gesa ahli politik ambil tanggungjawab kerana isu ini adalah emotive.

"Semua orang tahu, tetapi sambil mereka (pembangkang) mengaut keuntungan politik jangan belakangkan fakta," katanya.

Setiausaha Agung PH itu berkata demikian mengulas mengenai isu kalimah ALLAH yang mungkin digunakan sebagai modal politik pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ALLAH.

Ia hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2014.