Sesat di Perak, jumpa di Kedah

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pagi tadi berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat.
Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pagi tadi berjaya menemukan mangsa dalam keadaan selamat.
A
A
A

PENGKALAN HULU – Seorang lelaki yang hilang selepas sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Gunung Air Ibu, Pengkalan Hulu sejak semalam ditemukan selamat berhampiran kawasan kolam air panas Ulu Legong, Baling, Kedah di sini, hari ini.

Lelaki berusia 29 tahun itu ditemui pada jam 2.30 petang dalam keadaan tidak bermaya, namun tiada sebarang kecederaan serius dialami.

Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Hulu, D Selvamany berkata, pasukan mencari mengambil masa hampir satu jam perjalanan untuk ke tempat mangsa ditemui iaitu kira-kira 5km dari lokasi terakhir dia dilihat.

“Mangsa dipercayai cuba mencari laluan sendiri sehinggalah sampai di pusat rekreasi itu, orang kampung yang kebetulan berada di situ membantunya keluar dan memberikan makanan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penemuan mangsa itu kemudiannya dimaklumkan kepada pusat gerakan operasi.

“Menerusi gambar yang dikirim mengesahkan mangsa yang ditemui penduduk adalah sama dengan individu dilaporkan hilang dalam pendakian disertai lapan lelaki berusia antara 23 dan 35 tahun, namun hanya empat yang selamat turun.

“Empat yang lain termasuk mangsa tersesat ketika mencari jalan turun menyebabkan dia keletihan dan tidak berdaya meneruskan perjalanan.

“Mangsa kemudiannya ditinggalkan di satu lokasi, sementara tiga pendaki lain meneruskan perjalanan untuk memohon bantuan pasukan penyelamat.

Artikel Berkaitan:

“Sebaik berjaya mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung, tiga pendaki itu kembali ke tempat mangsa ditinggalkan, namun mangsa telah tiada,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam tadi.

Seramai 52 orang terdiri anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung terlibat dalam misi mencari yang diteruskan pada jam 9 pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pendaki dihuatiri hilang selepas ditinggalkan sendirian