Hanya tunggu masa rumah musnah dipukul ombak

Mohd Afifullah bersama dua anaknya melihat kawasan belakang kediaman mereka di Kampung Pengkalan Maras, di Kuala Nerus yang kini hanya menunggu masa untuk runtuh.
Mohd Afifullah bersama dua anaknya melihat kawasan belakang kediaman mereka di Kampung Pengkalan Maras, di Kuala Nerus yang kini hanya menunggu masa untuk runtuh.
A
A
A

KUALA NERUS - Penghuni di sebuah kediaman paling hampir dengan laut di Kampung Pengkalan Maras, di sini hanya menunggu masa kediaman mereka dipukul ombak ekoran fenomena air laut pasang besar yang berlaku sejak malam Jumaat.

Mohd Afifullah Ahmad, 34, berkata, ombak kuat membadai serta angin kencang menjejaskan struktur tanah di belakang rumah menyebabkan jarak antara kediaman yang dihuninya kini tinggal kurang 5 meter dari kawasan laut.

"Sejak saya tinggal di sini pada 2015, masih terdapat kawasan tanah seluas 200 meter dari kawasan laut, hakisan yang berlaku saban tahun menyebabkan kawasan tanah yang tinggal hanya 10 meter.

"Tidak terhenti setakat itu, ombak besar dan angin kencang sepanjang musim tengkujuh terutama fenomena air pasang besar malam tadi menyebabkan perubahan besar pada kawasan garis pantai di kediaman ini.

"Kini kedudukan rumah ini tidak sampai 5 meter dari laut malah kediaman ini juga hanya menunggu masa untuk musnah dipukul ombak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya pada Jumaat.

Mohd Afifullah berkata, dia bersama isteri, Wan Nur Zatul Farah Ain Wan Zakaria, 30, dan dua anak, Aisyatul Humaira, 4 dan Muhammad Auf Ulwan, 2, menumpang di kediaman ibu saudaranya, Wan Zubaidah Wan Mohamad, 50 di Kampung Padang Nenas.

Keadaan kawasan kediaman yang dihuni Mohd Afifullah di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus yang musnah teruk akibat dibadai ombak.
Keadaan kawasan kediaman yang dihuni Mohd Afifullah di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus yang musnah teruk akibat dibadai ombak.

"Selepas balik kerja, dalam jam 12 tengah malam saya lihat ombak besar dan angin begitu kuat. Tak pernah lagi saya lihat ombak begitu tinggi dan angin sekuat itu sepanjang musim tengkujuh kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya segera minta isteri mengemas pakaian dan membawa beberapa dokumen penting untuk menumpang tidur di kediaman ibu saudara saya malam tadi.

"Malam ini pun sama jika berlaku keadaan serupa saya terpaksa menumpang tidur di rumah ibu saudara saya dahulu sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Afifullah berkata, dia berharap ada usaha dilakukan bagi mengembalikan semula keadaan pantai di kawasan itu.

Katanya, beliau difahamkan setakat ini sebanyak tiga premis perniagaan serta sebuah surau di kawasan itu telah musnah akibat masalah hakisan pantai.

"Difahamkan selain kediaman ini masih terdapat dua buah lagi kediaman lain yang tinggal paling hampir dengan kawasan laut.

"Jadi, kita harap kawasan pantai yang telah musnah teruk akibat hakisan di sini dapat dipulihkan semula bagi membolehkan penduduk tetap kawasan ini tinggal di sini terutama yang tiada penempatan lain," katanya.