Tiga laporan SPRM terhadap Zeti

Hamidah ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan SPRM terhadap Zeti pada Khamis.
Hamidah ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan SPRM terhadap Zeti pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) membuat tiga laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Gabenor Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Osman berkata, ketiga-tiga laporan tersebut berkenaan dengan dakwaan penglibatan Zeti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pembekalan air di sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak serta penyalahgunaan kuasa berkaitan jual beli Southern Bank oleh CIMB.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebuah syarikat yang dipercayai dimiliki oleh suami Zeti dan anak-anak didakwa telah menerima AS$16,219,409.23 daripada entiti yang mempunyai kaitan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low.

"Terdapat beberapa yang perlu dirungkaikan antaranya adalah benar transaksi tersebut? Mengapa Zeti berdiam diri mengenai dakwaan ini?" katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis.

Zeti juga didakwa melobi Menteri Kewangan II agar projek pembekalan air di sekolah pedalaman Sabah dan Sarawak diberi kepada syarikat di mana suami dan anaknya mempunyai kepentingan.

"Dimaklumkan projek itu bermasalah," katanya.

Hamidah turut mendakwa Zeti melakukan penyalahgunaan kuasa dalam urusniaga jual beli Southern Bank oleh CIMB pada 2015.

"Untuk transaksi pembelian bank, ia harus dipersetujui oleh Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti.

Artikel Berkaitan:

"Dalam kes ini, suami Zeti menjadi broker di dalam urusan tersebut yang difahamkan yuran broker adalah lebih daripada AS$1.8 juta," katanya.

Tambahnya, Zeti harus menjelaskan mengapa syarikat berkaitan dengan keluarganya terlibat dengan urusniaga tersebut.

"Walaupun perkara ini telah lama berlaku, ia perlu didedahkan. Ia juga melibatkan adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan segera dibuat SPRM berhubung perkara itu.

"Dalam pertemuan tadi, SPRM telah berjanji akan membuka kertas siasatan dan akan memaklumkan segera perkembangan kes," katanya.