X

Kindly register in order to view this article
!

Tak sempat bawa bapa berjalan: Ahmad Faris

Ahmad Faris menunjukkan gambar ayahnya ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapanya di Kampung Padang Bongor, Binjai pada Khamis.
A
A

KOTA BHARU - "Saya memang janji dengan ayah untuk balik tengok dia minggu ini dan bawa jalan-jalan. Tidak sangka pula kami tidak sempat luangkan masa bersama," kata Ahmad Faris Hassani Hassan, 50, anak sulung kepada bekas Veteran UMNO, Allahyarham Datuk Hassan Harun.

Hassan, 75, yang juga Pengasas Sekolah Antarabangsa Wadi Sofea meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) akibat jangkitan kuman di paru-paru pada jam 5.15 pagi Khamis.

Ahmad Faris berkata, pada 14 Disember lalu beliau pulang menjenguk bapanya yang akan menjalani pembedahan membuang hempedu dan berjanji akan pulang ke Kelantan sekali lagi minggu ini untuk meluangkan masa bersama.

Bagaimanapun katanya, pada Selasa, ibunya Datin Che Fatimah Mohd Saad menghubunginya memaklumkan bapanya sesak nafas dan perlu dibawa ke hospital.

"Ketika ayah berada dalam wad, kami tidak dibenarkan melawatnya kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan mana-mana tetamu melawat pesakit kecuali atas sebab-sebab kecemasan.

"Malam tadi, ibu saya mendapat panggilan daripada pihak hospital yang mengatakan keadaan ayah tidak mengizinkan. Kami sekeluarga segera ke hospital, ketika itu ayah berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Saya hanya boleh masuk sekejap untuk lihat ayah dan ketika itu dia sudah tidak sedar serta lemah," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumah bapanya di Kampung Padang Bongor, Binjai di sini.

Ahmad Faris berkata, bapanya memang selalu mengajak dia berjalan dan akan menjadi seorang 'pencerita' yang setia.

Ahmad Faris
Ahmad Faris

"Ayah adalah seorang yang sangat suka bercerita. Suka menghiburkan kami. Kalau berada di samping dia, ada sahaja cerita yang dia kongsikan kepada saya terutama tentang politik tanah air.

"Pelbagai nasihat dan tunjuk ajar dia berikan kepada saya. Saya akan sentiasa ingat pesanannya kepada kami semua untuk mengatur dan merancang perjalanan masa depan dengan baik terutama pendidikan dunia dan akhirat kepada anak-anak serta keluarga," katanya.

Tambahnya, cinta dan sayang bapanya kepada dunia politik tiada tolak bandingnya sehingga akhir hayatnya, malah ayahnya juga antara individu yang sentiasa menjadi rujukan banyak pihak untuk mendapatkan perkongsian ilmu dan juga pengalaman dalam bidang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk Hassan Harun meninggal dunia


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!