Wujudkan blueprint industri vaksin

 Profesor Dr Sazaly Abu Bakar
Profesor Dr Sazaly Abu Bakar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia disaran mewujudkan satu rangka tindakan (blueprint) mengenai Pembangunan Industri Vaksin Kebangsaan bagi menentukan arah tuju dan keperluan vaksin untuk rakyat negara ini.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, rangka tindakan itu perlu diwujudkan kerana pembangunan vaksin memerlukan jangka masa yang lama.

“Negara lain seperti Vietnam mengambil masa 20 tahun untuk membangunkan industri vaksin, justeru kerajaan perlu merangka pelan dalam tempoh lima, 10 dan 15 tahun berhubung bagaimana serta apakah vaksin yang ingin dibangunkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di UM di sini pada Rabu.

Beliau berkata, negara kini memikirkan sama ada perlu mengimport atau membangunkan sendiri vaksin, justeru dengan adanya blueprint, golongan penyelidik di negara ini boleh memberikan maklum balas seperti teknologi apa dan jumlah peruntukan yang diperlukan.

Dalam pada itu, Sazaly berkata, hanya sedikit peruntukan diberikan oleh kerajaan untuk penyelidikan vaksin kepada universiti dan ia tidak mencapai sehingga peringkat pengilangan.

“Geran penyelidikan hanya sedikit. Tidak sampai ke ekosistem seterusnya iaitu pengilangan. Kalau kita lihat Vietnam, mereka boleh membangunkan vaksin daripada mula penyelidikan sampai kepada pengilangan,” katanya.

Menurutnya, tiada universiti lain yang aktif dalam pembangunan vaksin melainkan UM dan Universiti Sains Malaysia (USM).

“Dua universiti ini sahaja yang masih ada penyelidik aktif dalam pembangunan vaksin. Itupun dalam kadar yang kecil kerana tiada peruntukan yang besar kerana vaksin ini memerlukan peruntukan yang besar,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sazaly berpandangan bahawa universiti di negara ini seharusnya berubah seperti menawarkan kos baharu dalam bidang pembangunan vaksin.

Mengulas mengenai vaksin Covid-19 yang akan diperoleh pada Februari depan, beliau berkata, pemerolehan itu tidak bermakna bahawa rakyat negara ini perlu melupakan norma-norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan kini.

“Kita mesti ingat vaksin ini hanya diberikan untuk golongan usia 18 tahun ke atas. Kita ada 18 tahun ke bawah yang tidak diberikan vaksin, jadi golongan ini masih terdedah,” katanya.

Menurutnya, pembudayaan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap basuh tangan menggunakan sabun bukan hanya untuk mengekang Covid-19 tetapi juga jangkitan salur pernafasan yang lain.

Katanya, bagi mengekang Covid-19, jurutera dan arkitek yang membina rumah atau sesebuah bangunan dicadangkan supaya membuat satu saluran pengudaraan.

“Maknanya setiap bangunan dan rumah baru yang akan dibina mesti mengambil kira bagaimana pengaliran udara itu boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata, saluran pengudaraan di setiap bangunan membolehkan udara ditapis dan mengurangkan risiko penularan Covid-19.