Pisahkan sektor halal daripada Jakim

Helmi - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Helmi - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia mencadangkan sektor halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dipisahkan berikutan jabatan itu merupakan sebuah agensi penguat kuasa agama.

Setiausaha Agungnya, Dr Helmi Ibrahim berkata, sektor halal merupakan satu sektor ekonomi.

“Kita tahu Jakim ini merupakan sebuah agensi penguat kuasa agama. Jadi patut dipisahkan,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri diskusi bersama Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub bersama ahli dalam Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia di sini pada Rabu.

Sinar Harian pada awal bulan ini mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KPDNHEP agensi utama siasat isu kartel daging: Ketua Polis Negara

RCI langkah terbaik, kata menteri

Isu kartel daging: Jakim adakan perbincangan antara kementerian, agensi

Pada Isnin lalu, Pengarah Kanan Penyelidikan Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menegaskan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu penipuan penyeludupan daging kerana ia berada di luar bidang kuasa jabatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya bukan sengaja 'berdiam diri' seperti didakwa sebaliknya tindakan itu diambil kerana persoalan dikemukakan masyarakat di luar tanggungjawab Jakim.

Hussamuddin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Helmi (dua dari kanan) sempena lawatan delegasi Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Hussamuddin (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Helmi (dua dari kanan) sempena lawatan delegasi Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR

Bagi mengatasi isu halal ini, Helmi mencadangkan diwujudkan satu dasar dinamakan Dasar Halal Negara yang boleh dijadikan rujukan dan ditubuhkan dua agensi yang lain.

“Kalau kita mempunyai dasar dari segi pendidikan (dan) dasar bahasa kebangsaan, kenapa dasar halal tidak boleh sedangkan ini perkara asas keimanan kita. Dengan adanya Dasar Halal Negara, ia menjadi punca semua kuasa dan rujukan mengenai isu berkaitan Islam termasuk isu halal.

“Kita kena faham, isu halal bukan sahaja produk makanan tetapi ekosistem halal. Sistem perundangan, pentadbiran, ekonomi segala-galanya harus ikut syariah. Itu yang penting harus dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Helmi turut mencadangkan agensi Perbadanan Halal Nasional ditubuhkan bagi tujuan pemantauan sektor halal.

“Kalau ada perkara berlaku, Perbadanan Halal Nasional ini yang bertanggungjawab memantaunya,” katanya.

Agensi lain turut dicadangkan ialah sebuah institut halal yang merupakan satu badan untuk akreditasi dan sijil.

“Kalau kita dapat melaksanakan cadangan ini, Insya-ALLAH kita dapat membentuk satu ekosistem halal berdasarkan norma baru,” jelasnya.