KPDNHEP agensi utama siasat isu kartel daging: Ketua Polis Negara

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjadi agensi utama dalam menyiasat isu kartel daging haram, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula akan membantu KPDNHEP sekiranya terdapat mana-mana sudut yang membolehkan untuk dilakukan siasatan.

"PDRM pula menyiasat (dan) membuka kertas siasatan dari sudut mana perbuatan ini (dilakukan)... perbuatan ini telah menimbulkan keresahan, ketakutan dan kebimbangan rakyat.

“Kita akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (kerana menyebabkan ketakutan dan kegentaran kepada awam)," katanya kepada Bernama selepas menerima penganugerahan Bintang Bhayangkara Utama di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu itu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara.

Setakat ini, polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan, selepas media melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari beberapa negara sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM beri jaminan turut siasat isu kartel daging

Artikel Berkaitan:

Isu kartel daging: Bukit Aman terima 13 laporan

Isu kartel daging: Kerajaan setuju tubuh RCI