PTPTN catat jumlah deposit SSPN RM1.3 bilion

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan sebanyak RM1.3 bilion atau 87.05 peratus jumlah deposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tempoh Januari hingga 30 November lepas berbanding sasaran sebanyak RM1.5 bilion tahun ini.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan berkata, walaupun ia tidak mencapai sasaran, namun jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan sebanyak 63 peratus berbanding RM800.84 juta yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Sebanyak 385,288 akaun SSPN telah dibuka setakat 30 November lepas dan ia mencapai sebanyak 96.32 peratus daripada sasaran tahun 2020 iaitu 400,000 akaun baharu.

“Kami jangkakan jumlah akaun baharu ini akan terus meningkat pada tahun hadapan dengan pelbagai promosi yang ditawarkan dan kami menyeru ibu bapa memanfaatkan peluang ini untuk menabung demi masa depan anak-anak," katanya kepada pemberita selepas Program Bantuan Persekolahan 2021 PTPTN di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, secara keseluruhannya, sejak SSPN dilancarkan pada 2004 dan sehingga 30 November lepas, sebanyak 4.77 juta akaun SSPN telah dibuka dengan deposit berjumlah RM7.19 bilion.

“Kami berharap kadar dividen yang ditawarkan oleh SSPN kekal kompetitif berbanding institusi kewangan lain. Pada tahun 2019, kadar dividen yang diberikan adalah kompetitif iaitu empat peratus dan saya berpandangan keuntungan yang diperoleh perlu dikongsikan dengan rakyat supaya mereka juga mendapat manfaat," katanya.

Terdahulu, Wan Saiful dalam ucapannya pada program tersebut berkata, seramai 410 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) di Negeri Sembilan pada Rabu menerima bantuan keseluruhan berjumlah RM41,000 daripada PTPTN.

Bantuan tersebut yang bertujuan bagi meringankan beban kewangan ibu bapa merangkumi baucar Mydin berjumlah RM80 bagi pembelian kelengkapan persekolahan dan RM20 dalam bentuk simpanan akaun SSPN-i kepada setiap pelajar. - Bernama

Artikel Berkaitan: