X

Kindly register in order to view this article
!

Kelantan sedia kerjasama naik taraf 12 pos kawalan PGA

Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh (kanan) memberi penerangan ringkas mengenai pos kawalan kepada Nasurrudin di Pos Sempadan Meranti, Kampung Pak Itam di Pasir Mas.
A
A

PASIR MAS - Kerajaan Kelantan menyambut baik langkah penambahbaikan 12 pos kawalan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) di pinggir Sungai Golok bagi memastikan kawasan berteduh petugas keselamatan itu tidak berdepan ancaman banjir selepas ini.

Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri sudah mengenal pasti kawasan bersesuaian bagi menaiktaraf 12 pos PGA di sepanjang Sungai Golok itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga sedia memberi kerjasama melibatkan penggunaan tanah bagi pembinaan pos tersebut.

"Sebelum ini pun kita memang sedia bekerjasama dengan persetujuan melibatkan penggunaan tanah-tanah kerajaan yang dikenal pasti sesuai untuk dibina pos itu.

"Permohonan untuk penambahbaikan pos kawalan ini juga kita pernah lakukan awal tahun ini. Insya-ALLAH kita akan panjangkan lagi hal ini kepada mereka yang berkenaan selepas ini.

"Dengan musim sekarang ini, banjir lagi, Covid-19 lagi, sudah tentu mereka berdepan dengan tugas yang mencabar. Saya harap pegawai sentiasa berwaspada dan banyakkan bersabar berdepan dengan musibah ini," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di sini pada Selasa.

Beliau hadir menyampaikan sumbangan kepada pasukan PGA Batalion 7 Kuantan di Pos Sempadan Meranti, Kampung Pak Itam di sini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh.

Sebelum ini, akhbar tempatan melaporkan, 12 daripada 17 pos kawalan milik Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertempat di pinggir Sungai Golok akan dinaik taraf bagi mengelakkan pos terbabit terjejas akibat bencana banjir.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ramlan Harun hasil lawatan yang dilakukan ke beberapa pos yang terdedah dengan ancaman banjir baru-baru ini.

Beliau juga membayangkan, penambahbaikan tersebut melibatkan pembinaan pos baharu di tempat yang lebih tinggi supaya tidak terdedah kepada kenaikan air.

Mengulas lanjut, Nasurrudin berkata, secara dasarnya pihaknya optimis penambahbaikan tersebut akan dapat dilaksanakan sebaik mungkin sebelum tibanya musim tengkujuh tahun depan.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Deputi Superintendan Ku Majidin Che Ku Jusoh dalam sidang akhbar yang sama memberitahu, pihaknya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan negeri di atas sumbangan yang diberikan dan ia akan diagihkan kepada semua petugas melibatkan 17 pos di sempadan tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!