'Punca kematian Zulfarhan akibat jangkitan kuman, 'major burn''

Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakar Perunding Forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa berdasarkan rumusannya, punca kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain adalah disebabkan jangkitan kuman di dada dan luka lecur utama (major burn).

Dr Rohayu Shahar Adnan yang juga Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh berkata, bagi setiap laporan kematian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharapkan petugas perubatan mengikut klasifikasi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu dibuat mengikut nombor.

Ketika menjawab soalan peguam, Datuk Seri M Ramachelvam yang mewakili tertuduh ke-4 ketika prosiding bela diri 18 pelajar UPNM terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman, Dr Rohayu berkata, terdapat dua rumusan dapat dibuat.

Ramachelvam: Berdasarkan laporan bedah siasat yang dibuat pakar terdahulu, gambar dan pemeriksaan mikroskopik, bolehkah Dr Rohayu rumuskan punca kematian Zulfarhan Osman.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya bukan dalang cederakan Zulfarhan'

Laporan forensik Zulfarhan tiada kesinambungan: Saksi

Zulfarhan kata 'jangan' semasa ditekap seterika

Dr Rohayu: Nombor satu ialah ‘chest infection’ atau jangkitan di dada, kerana wujudnya jangkitan kuman di paru-paru dengan komplikasi radang pada jantung.

Artikel Berkaitan:

Ramachelvam: Bagaimana dengan nombor dua?

Dr Rohayu: Nombor dua ialah disebabkan ‘major burn sequela’ kerana pada pengiraan saya, kesan terbakar sebanyak 67 peratus adalah diketagorikan sebagai major burn.

Saksi pembelaan ke-19 itu berkata, kematian Zulfarhan Osman bukan diakibatkan oleh 100 peratus daripada kebakaran tetapi terdapat unsur jangkitan yang mungkin berlaku lebih awal.

Katanya, ia diterukkan lagi dengan keadaan kehilangan permukaan kulit akibat kebakaran.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mod Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan jam 5.45 pagi, 22 Mei 2017, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan, juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

Mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara jam 2.30 pagi dan jam 5.30 pagi 21 Mei 2017.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 12 Januari 2021.