Wanita mental toreh badan, bakar diri

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang wanita kritikal apabila beberapa bahagian badannya melecur dalam cubaan membunuh diri dengan membakar dirinya sendiri, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa mengalami kecederaan di muka, badan, tangan dan kaki dengan 40 peratus kesan melecur.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dari keterangan abang mangsa, adiknya merupakan pesakit mental dan sedang menerima rawatan psikiatri di Klinik Jalan Perak.

Menurutnya, mangsa juga pernah ditempatkan di Hospital Jalan Perak kerana penyakit mentalnya itu.

"Pemeriksaan di badan mangsa, selain melecur di beberapa bahagian badannya, terdapat juga kesan torehan pada bahagian dada hingga ke paha mangsa.

"Mangsa yang tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Keterangan mangsa yang masih bujang itu belum diperolehi kerana masih dirawat. Menurut doktor, keadaan mangsa agak kritikal.

"Doktor juga mengesahkan mangsa mengalami masalah sakit mental berdasarkan ubat sakit mental yang diberikan oleh abang mangsa kepada doktor yang merawatnya," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kejadian itu, Che Zaimani berkata, kejadian berlaku di dalam sebuah rumah di kuarters kerajaan negeri di Jalan Air Itam di sini.

Menurutnya, kejadian itu disedari abangnya yang terdengar mangsa memanggilnya.

"Semasa kejadian, mangsa baru sahaja datang ke rumah ibunya di kuarters kerajaan negeri di sini. Pada ketika itu, abangnya mendapati ada kesan darah pada rambut dan leher mangsa.

"Apabila ditanya, mangsa memberitahu telah menoreh dadanya menggunakan pisau pada Ahad lalu.

"Abang mangsa telah menghubungi ambulans dan ketika menunggu ambulans sampai, mangsa didapati telah melarikan diri ke luar rumah.

"Ketika itu, abang mangsa mendapati, seluruh badan mangsa telah terbakar. Abangnya bersama dua anggota polis yang baru tiba cuba memadamkan api menggunakan air," katanya.

Che Zaimani berkata, mangsa tinggal bersama ibunya di kuarters berkenaan namun pada hari kejadian, ibunya ke Kuala Lumpur untuk menghantar adik bongsunya.

"Siasatan di tempat kejadian, mangsa telah membakar badannya menggunakan petrol yang diisi dalam botol.

"Sementara itu, pemeriksaan pada kad rawatan mangsa mendapati, rawatan terakhirnya adalah pada 30 Januari lalu dan rawatan selanjutnya pada 13 Februari ini," katanya.