Sasha Elite rakyat Malaysia pertama disuntik vaksin Covid-19

Sasha bersama suaminya,Sirhan Wahab. - Foto IG Sashasaidin
Sasha bersama suaminya,Sirhan Wahab. - Foto IG Sashasaidin
A
A
A

SHAH ALAM - Penyanyi dan pelakon, Sasha Mohd Saidin antara rakyat Malaysia pertama yang menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Sinopharm, Selasa lalu.

Ahli kumpulan Elite itu memaklumkan beliau dan suaminya, Sirhan Wahab telahpun menerima suntikan dos pertama vaksin berkenaan sewaktu berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kami mengambil keputusan untuk suntikan vaksin jenis Sinopharm kerana keberkesanan sebanyak 86 peratus setelah mendapat berita mengenai kemunculan mutasi baharu Covid-19,” katanya melalui Instagram miliknya pada Sabtu.

Selebriti berusia 44 tahun itu memberitahu, beliau dan suaminya memilih vaksin jenis itu kerana keberkesanannya, namun suntikan jenis Pfizer lebih tinggi iaitu 96 peratus tetapi masih belum boleh dapat diperoleh di negara itu.

“Sudah empat hari berlalu dan Alhamdulillah saya dan Sirhan tidak mengalami sebarang kesan sampingan seperti demam, mual dan alahan.

“Selain rasa sakit pada lengan, kami cuba melakukan apa-apa aktiviti seharian dengan baik,” katanya.

Menurutnya, beliau dan suaminya telah menerima pemberitahuan daripada Jabatan Kesihatan UAE untuk janji temu seterusnya.

“Kami akan menerima suntikan dos kedua dan terakhir dalam masa 21 hari selepas suntikan dos pertama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinopharm merupakan vaksin yang dihasilkan oleh pengeluar China National Pharmaceutical Group (Sinopharm) yang berpangkalan di Beijing.

Dalam pada itu, Sasha dan suaminya turut menzahirkan ucapan terima kasih atas doa yang diberikan dan mendoakan agar semua berada dalam keadaan selamat ekoran wabak pandemik Covid-19.