Minta pulangkan pedang lama sebelum tetak kenalan

Mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kepala diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Sabtu. - Foto Ihsan pembaca
Mangsa yang mengalami kecederaan di tangan dan kepala diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Sabtu. - Foto Ihsan pembaca
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki parah selepas ditetak di tangan oleh kenalannya dalam satu kejadian dipercayai akibat perselisihan faham di sebuah rumah di Lorong Haji Hassan, Jalan Makam Diraja Langgar, dekat ini pada petang Sabtu.

Rakan mangsa, Abdul Rahman Arshad, 34, yang berada di tempat kejadian turut mengalami kecederaan ringan di tangan kirinya dalam usaha untuk meleraikan perselisihan tersebut yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, beberapa rakan lain juga turut membantu menyelamatkan mangsa termasuk membuat panggilan kecemasan sebelum ambulans dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar tiba untuk memberikan rawatan awal kepada mangsa yang berusia 34 tahun itu.

"Semasa kejadian, lelaki tersebut datang dan meminta mangsa memulangkan kembali pedang lama miliknya sebelum menetak tangan mangsa dengan sebilah pisau.

"Kali kedua saya lihat dia seakan mahu menikam mangsa dan cepat-cepat saya cuba halang sebelum parang tersebut terkena tangan kiri saya," katanya semasa ditemui Sinar Harian.

Abdul Rahman berkata, mangsa turut mengalami kecederaan di kepala akibat dicederakan oleh kenalannya itu dengan menggunakan pisau tersebut sebelum dileraikan oleh mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian tersebut dan pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata seperti pisau.

Artikel Berkaitan:

"Kes masih lagi dalam siasatan kerana belum dapat lagi bahan bukti dan belum ada lagi tangkapan dibuat," katanya.