Pegawai, anggota IPD Temerloh disyaki terbabit dadah dipindah ke bahagian pengurusan

KUANTAN - Dua pegawai dan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah, 3 Januari lalu ditukarkan ke bahagian pengurusan sementara menunggu proses siasatan selesai.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kes masih dalam siasatan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka sekiranya didapati terlibat.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang tidak akan berkompromi atau bertoleransi terhadap mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit dalam salah laku berkenaan.
"Saya sedih dan kesal kerana mereka ini seperti 'harapkan pagar, pagar makan padi'. Sebagai benteng pertahanan, kita tidak mahu ada pegawai dan anggota terbabit dalam kes seperti ini lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Perhimpunan Bulanan Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini pada Selasa.
Yahaya berkata, pihaknya akan meneliti punca kejadian terbabit memandangkan ujian saringan air kencing secara berkala dilaksanakan terhadap warga PDRM.
Pada 3 Januari lalu, dua pegawai berpangkat inspektor dan lima anggota berusia antara 29 hingga 42 tahun ditahan dalam serbuan polis di sebuah premis di Mentakab, Temerloh kira-kira jam 2.15 pagi.
Turut ditahan seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Thailand masing-masing berusia 22 hingga 37 tahun.
Hasil saringan air kencing, seorang pegawai dan lima anggota terbabit didapati positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo.
Turut disahkan positif dadah ialah seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand.
Bagaimanapun hasil saringan air kencing seorang pegawai polis dan seorang lagi wanita warga Thailand didapati negatif dadah.
Hasil serbuan itu, polis turut merampas satu peket dadah jenis ketamin seberat 0.98 gram dan satu jag berisi cecair disyaki mengandungi dadah.
Sementara itu dalam ucapannya, Yahaya berkata, walaupun peringatan demi peringatan telah disampaikan kepada setiap lapisan pegawai, anggota dan pegawai awam agar mematuhi arahan berkaitan Larangan Mengunjungi Pusat Hiburan dan Penyalahgunaan Dadah, masih ada lagi yang ingkar.
Menurutnya, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 21 warga PDRM Kontinjen Pahang telah terlibat dalam penyalahgunaan dadah manakala 12 orang atas kesalahan mengunjungi pusat hiburan.
"Penyalahgunaan dadah dalam kalangan warga polis bukan sahaja merosakkan diri dan keluarga, malah ia satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan kedaulatan negara.
"Tahun ini, kita tidak akan berkompromi kepada yang terlibat kerana tiada tempat bagi penagih dadah atau pengedar dadah dalam PDRM," tegasnya.
Ringkasan AI
- Dua pegawai dan lima anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Temerloh ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan ditukarkan ke bahagian pengurusan sementara menunggu siasatan
- Ketua Polis Pahang menyatakan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati terlibat dalam salah laku
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang tidak akan berkompromi terhadap pegawai atau anggota yang terlibat dalam kesalahan penyalahgunaan dadah
- Ujian saringan air kencing menunjukkan seorang pegawai dan lima anggota positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzo
- Tahun lalu, 21 warga PDRM Kontinjen Pahang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan 12 orang kerana mengunjungi pusat hiburan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

