[VIDEO] Pemilik syarikat simpan diesel lebih had didenda RM15,000

A
A
A

IPOH - Seorang pemilik syarikat didenda RM15,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa kerana menyimpan diesel melebihi had ditetapkan.

Tertuduh, Chin Wei Sin Vincent, 47, didakwa melakukan kesalahan di dalam premis Vincent Chin Enterprise, Jalan Johan 2/11, Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, Pusing, Batu Gajah kira-kira jam 9 pagi pada 8 Mac 2024.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memegang permit barang kawalan berjadual didapati telah gagal mematuhi syarat yang dinyatakan dalam permit barang kawalan berjadual iaitu memiliki minyak diesel sebanyak 5,940 liter melebihi kuantiti yang dibenarkan dalam permit sebanyak 2,000 liter.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selepas membuat pengakuan bersalah, tertuduh merayu agar hukuman dikurangkan memandangkan hanya dia sahaja bekerja serta mempunyai tujuh orang tanggungan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan hukuman denda RM15,000 dan lapan bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan manakala hasil sitaan bernilai RM17,701.20 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dan lori milik tertuduh dipulangkan.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa, N Shamani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang pemilik syarikat didenda RM15,000 kerana menyimpan diesel melebihi had ditetapkan
  • Tuduhan berlaku di dalam premis Vincent Chin Enterprise, Pusing, Batu Gajah
  • Tertuduh gagal mematuhi syarat permit dengan memiliki 5,940 liter diesel, melebihi had 2,000 liter
  • Hukuman boleh mencapai RM1 juta atau penjara tiga tahun
  • Tertuduh juga dihukum lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, tetapi membayar denda tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!