Lelaki parah tercampak, treler dipandu terbabas

Keadaan di sekitar lokasi kejadian pada Khamis.
Keadaan di sekitar lokasi kejadian pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki cedera parah apabila tercampak keluar dari treler yang dipandunya selepas terlibat nahas di kilometer 263.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada Khamis.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian pada jam 10.15 pagi itu melibatkan sebuah treler yang membawa muatan enam buah kenderaan jenama tempatan pelbagai jenis (belum berdaftar).

"Ia dipandu oleh seorang lelaki berumur 49 tahun seorang diri sedang bergerak dari arah Tanjung Malim, Perak menuju ke arah Johor Baharu.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai telah hilang kawalan lalu melanggar tembok kiri pembahagi lebuh raya seterusnya terbabas ke arah tembok tengah pembahagi lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, impak pelanggaran tersebut telah menyebabkan mangsa tercampak keluar dari treler manakala, tiga buah muatan kereta yang dibawa turut tercampak dan jatuh di atas jalan raya.

Kerja pembersihan sedang dilakukan di lokasi kejadian.
Kerja pembersihan sedang dilakukan di lokasi kejadian.

"Mangsa mengalami kecederaan parah dibahagian kepala telah dibawa ke unit kecemasan Hospital Tuanku Jaafar Seremban dan sedang menerima rawatan di zon merah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Sebelum itu, aliran trafik terhalang tiga lorong dan sesak di lokasi sekitar empat kilometer akibat kejadian itu telah dibuka pada jam 12.55 tengahari tadi, namun kenderaan masih bergerak perlahan.