Gambar tular: Tiada kaitan politik, kata Mohd Shafie

Gambar Mohd Shafie (kiri) bersama Ahmad Zahid dan Najib tular di media sosial pada Jumaat.
Gambar Mohd Shafie (kiri) bersama Ahmad Zahid dan Najib tular di media sosial pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Gambar makan malam bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tular di media sosial tiada kaitan dengan politik, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurutnya, gambar itu diambil pada Jumaat ketika beliau menghadiri majlis tahlil Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang meninggal dunia pada 18 Disember lalu.

"Saya menghadiri majlis tahlil untuk Tun Rahah, tiada kaitan politik mengenai itu (gambar dengan Zahid dan Najib).

"Saya mengenali keluarganya dan mahu memberi penghormatan kepada Tun Rahah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Shafie berkata, beliau sebelum ini tidak dapat hadir pada majlis pengebumian Allahyarhamah Tun Rahah kerana terpaksa menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dari 18 hingga 23 Disember.

Katanya, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan hadir pada majlis tahlil itu dan menyertai makan malam.

Tun Rahah, 87, yang juga isteri kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein sebelum ini dikebumikan di Lingkaran Makam Pahlawan, Masjid Negara, manakala majlis tahlil pada Jumaat diadakan di Masjid Ar-Rahah di Kampung Kerinchi.

Artikel Berkaitan: