Polis nafi pesakit Covid-19 di Stadium Tertutup Shah Alam

Gambar dalam video klip tular yang mendakwa sekumpulan individu ditempatkan di sebuah stadium tertutup di Shah Alam ekoran berlaku kesesakan di Hospital Sungai Buloh.
Gambar dalam video klip tular yang mendakwa sekumpulan individu ditempatkan di sebuah stadium tertutup di Shah Alam ekoran berlaku kesesakan di Hospital Sungai Buloh.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menafikan sekumpulan individu ditempatkan di sebuah stadium tertutup di Shah Alam ekoran berlaku kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 seperti tular di media sosial.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed mengesahkan berita yang disebarkan melalui video klip itu adalah berita palsu.

"Masyarakat diminta bertenang dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan di sini malam Jumaat.

Arjunaidi juga menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan sebarang berita yang diperoleh daripada sumber yang tidak sahih.

Tegasnya perbuatan tersebut boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni dan menggugat ketenteraman awam sambil meminta orang ramai mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang kesahihan sesuatu isu atau berita. - Bernama

Artikel Berkaitan: