Kumulatif kes Covid-19 berjumlah 3,821 di Johor

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kumulatif kes Covid-19 di negeri ini yang dilaporkan sehingga Khamis berjumlah 3,821 kes.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, kumulatif kematian pula berjumlah 32 kes manakala 2,074 kes telah pulih iaitu 54.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Semalam (Khamis) sahaja 115 kes baharu dilaporkan di negeri ini iaitu 80 kes daripada kluster sedia ada, 17 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 18 kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

"Kumulatif kluster aktif di Johor berjumlah 21 antaranya Kluster Tampoi Jaya dalam mukim Tebrau, Kluster Batu 39 (mukim Api-Api), Kluster Jalan Timah (mukim Plentong) dan Kluster Tembok Gajah (mukim Kluang)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, bagi Kluster Tembok Gajah yang melibatkan Penjara Kluang kumulatif kes berjumlah 519 sehingga Khamis melibatkan 495 banduan dan 24 kakitangan penjara.

Katanya, tindakan pencarian kes secara aktif (ACD) oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dalam mengekang penularan secepat mungkin masih dilakukan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kluang bermula 19 Disember.

Situasi Covid-19 ujarnya, masih lagi membimbangkan di negeri ini, justeru masyarakat dinasihatkan mengurangkan aktiviti sosial yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Sekiranya anda sering berulang alik ke kawasan zon merah, anda amat digalakkan untuk menjalani ujian makmal bagi mengesan Covid-19 di mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta. Ini bagi mengurangkan risiko penularan dalam kalangan keluarga dan kenalan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, seramai 2,677 menggunakan skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan 16,636 menggunakan skim Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) bagi kemasukan dari Singapura sehingga Khamis.

Menurut Vidyananthan, jumlah kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pengguna skim berkenaan kekal sebanyak tiga kes.