Guru bangga anak jati Jerantut bantu murid susah

Hafizatul Atikah Mohd Fauzi
Hafizatul Atikah Mohd Fauzi
A
A
A

JERANTUT - Guru-guru dari beberapa sekolah di daerah ini kagum dengan keprihatinan bekas pelajar mereka yang bergelar usahawan muda untuk tampil membantu pelajar susah.

Pasangan usahawan muda yang merupakan anak jati daerah Jerantut, Muhamad Shahmi Mashor dan Hafizatul Atikah Mohd Fauzi tampil menghulurkan sumbangan baucar pembelian barangan sekolah bernilai keseluruhan RM100,000 kepada 52 buah sekolah rendah dan menengah yang terpilih.

Kamariah Abdul Karim, guru kepada Hafizatul Atikah ketika di Sekolah Kebangsaan Temin berkata, beliau berbangga dengan pencapaian bekas pelajarnya yang mengharumkan nama daerah Jerantut dengan menganjurkan majlis sumbangan seumpama ini.

"Hari ini (Khamis) saya menyaksikan anak murid saya menyampaikan 500 baucar bantuan persekolahan kepada 500 pelajar dari 52 buah sekolah rendah dan menengah terpilih bagi meringankan beban ibu bapa.

"Sebagai guru sememangnya saya berbangga dengan apa yang dilakukan beliau sekarang. Beliau bermurah hati membantu anak-anak murid yang susah. Mudah-mudahan ia menjadi contoh kepada anak jati Jerantut yang lain," katanya yang merupakan guru subjek Matematik.

Kamariah Abdul Karim
Kamariah Abdul Karim

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Gusai Ulu Tembeling, Nordin Mohd Noor berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian anak tempatan yang tidak melupakan asal-usul mereka dan selalu membantu murid di daerah ini.

"Ini kali kedua saya terima baucar persekolahan ini sebagai wakil SK Gusai. Sekolah ini terletak di kawasan pedalaman daerah Jerantut yang mempunyai 21 murid dan rata-rata mereka adalah dari kampung tradisional," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nordin Mohd Noor
Nordin Mohd Noor

Sementara itu, Hafizatul Atikah berkata, bantuan barangan persekolahan sememangnya amat diperlukan masyarakat kerana ramai dalam kalangan mereka kehilangan pendapatan susulan pandemik Covid-19 dan musim tengkujuh.

"Diharap bantuan ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak tahun depan," katanya.