Pendidikan seksualiti komprehensif perlu diterap dari rumah

Dr Harlina Halizah - FOTO ROSLI TALIB
Dr Harlina Halizah - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Kurikulum pendidikan seksualiti komprehensif perlu diterapkan bermula dari rumah bagi menangani masalah seksual yang berlaku ekoran kepesatan perkembangan alam siber ketika ini.

Pengarah Pusat Citra Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Harlina Halizah Siraj @ Ramli berkata, ibu bapa perlu menerapkan aspek pendidikan seksualiti itu kepada anak-anak sejak kecil.

"Pendidikan seksualiti komprehensif ini perlu diajar dari rumah kerana di sekolah hanya membabitkan aspek sosialisasi sahaja. Ia tidak boleh diajar macam kita ajar Matematik, Sains atau Geografi.

"Jadi sekarang kita kena beri pemerkasaan kepada ibu bapa agar mereka melihat aspek pendidikan seksualiti komprehensif ini sebagai satu senjata untuk berhadapan dengan perkara ini (masalah seksual)," katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Al-Quran Edisi Resolusi bertajuk Bahana Seksual Alam Siber yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform media sosial Sinar Harian.

Wacana itu dikendalikan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail selaku moderator dan menampilkan qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil yang memperdengarkan bacaan Surah Al-A'raf ayat 17.

Dr Harlina Halizah mengupas tentang Bahana Seksual Alam Siber pada Wacana Al-Quran Edisi Resolusi yang turut menampilkan Fazrul (kiri) dan Ustaz Abdul Khair. - FOTO ROSLI TALIB
Dr Harlina Halizah mengupas tentang Bahana Seksual Alam Siber pada Wacana Al-Quran Edisi Resolusi yang turut menampilkan Fazrul (kiri) dan Ustaz Abdul Khair. - FOTO ROSLI TALIB

Mengulas lanjut, Dr Harlina Halizah menjelaskan, pendidikan seksualiti secara komprehensif itu sangat penting kerana dimensi lain seperti spiritual dan kerohanian perlu diberi penekanan kerana seksualiti bukan hanya berkaitan dengan fizikal sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Pendidikan seksualiti bukanlah perkara yang berkait dengan fizikal sahaja kerana jika itu sahaja yang ditekankan ia akan mendorong anak untuk mencuba, maka ia perlu dilengkapkan dengan dimensi yang lain.

"Dalam pendidikan seksualiti komprehensif ini, pentingnya ibu bapa menekankan kepada anak-anak mereka tentang 'Hablum Minallah, Hablum Minannas' yang bermaksud 'hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia selain menekankan aspek budaya, nilai sejagat serta prinsip murni," katanya.

Jelas beliau, pendidikan seksualiti komprehensif turut memberi penekanan terhadap aspek kognitif iaitu bagaimana manusia perlu berfikir dan membuat sesuatu keputusan berhubung seksualiti.

"Ia kerana perkara ini memberi implikasi jangka masa panjang. Jadi ia menekankan betapa pentingnya kita berfikir sebelum membuat sesuatu perkara.

"Selain itu, ia aspek emosi turut diberi penekanan. Kita manusia tidak lari dari sifat ingin tahu, bagaimanapun kita perlu sedar semua perkara ada batasnya. Jadi di situ kita perlu fikirkan kenapa perlu ada ijab dan qabul sebelum boleh lakukan hubungan kelamin," katanya.

Tambah beliau, dalam keluarga Muslim, sebenarnya panduan aspek pendidikan seksualiti komprehensif sudah lengkap dan ia hanya perlu dipraktikkan.

"Aspek pendidikan seksualiti komprehensif ini juga bukan hanya untuk kanak-kanak. Ia adalah pendidikan sepanjang hayat. Justeru, ibu bapa juga perlu sentiasa belajar kerana semakin meningkat usia kita, kita ada keperluan seksual yang berbeza.

"Contohnya bila wanita hamil kemudian melahirkan anak dan menyusukan, itu semua beri impak kepada aspek seksualiti," katanya.

Dr Harlina Halizah menegaskan, apa yang paling penting ibu bapa perlu menerapkan kesedaran dalam diri anak-anak tentang pendidikan itu sejak kecil dan untuk menjadikannya satu budaya, maka masyarakat sekarang perlu bertatih dari awal.

Katanya, sikap ibu bapa yang tidak memberi pendedahan tentang pendidikan seksualiti dari awal kepada anak-anak adalah satu bentuk kezaliman kepada diri mereka dan anak-anak mereka.

C/H: Al-Quran, hadis jadi panduan

Sementara itu, Dr Harlina Halizah berkata, al-Quran dan hadis menjadi panduan lengkap kepada manusia untuk mengawal diri sekaligus menjadi benteng daripada berlakunya masalah seksual.

"Al-Quran menunjukkan jalan kepada manusia khususnya kepada remaja bagaimana untuk mengawal diri.

"Aspek seksualiti sebenarnya banyak berkait tentang kawalan diri. Itu sebabnya dalam al-Quran disebut zina itu haram tetapi perkahwinan itu halal," katanya.

Justeru itu, beliau memberitahu, aspek kerohanian perlu diberi perhatian oleh ibu bapa kerana ia juga membentuk jati diri anak-anak mereka.

Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu menjadi sumber ilmu kepada anak-anak dan tidak membiarkan anak-anak belajar mengenai seksualiti menerusi alam siber.

"Ada banyak kajian sekarang yang menunjukkan bagaimana otak kita boleh diubah dengan bahan-bahan (seksual) yang boleh kita peroleh dari alam siber.

"Ada juga kajian khusus mengenai bahan-bahan seksual ini. Kandungan seksual ini kalau kita buat carian di enjin internet, bila taip seks, perkataan itulah yang paling banyak dicari," katanya.

Kata beliau, sekiranya ibu bapa tidak memberi pendidikan mengenai perkara itu sejak anak-anak kecil ia boleh menjadi pendorong kepada mereka untuk meneroka sendiri tentangnya menerusi internet dengan melayari laman-laman pornografi.