Mahu Kluang bebas gelandangan

Mohd Said (tengah) bertanya sesuatu kepada gelandangan yang ditemui.
Mohd Said (tengah) bertanya sesuatu kepada gelandangan yang ditemui.
A
A
A

KLUANG - Lebih 10 gelandangan di sekitar bandar Kluang dan kawasan sekitarnya mendapat perhatian kerajaan yang sentiasa berusaha meringankan beban rakyat terutamanya golongan yang tidak berkemampuan.

Adun Mahkota, Mohd Said Jonit berkata, nasib gelandangan seperti mereka memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan pelbagai permasalahan yang lebih serius.

“Seperti di Dun Mahkota ini, saya ambil pendekatan untuk menyantuni sendiri golongan gelandangan ini sebagai usaha untuk membasmi kemiskinan di daerah ini terutamanya Dun Mahkota yang terletak di dalam kawasan bandar Kluang.

“Melalui program seperti ini, golongan ini dapat dikenal pasti dan perancangan berikutnya bagi membantu mereka menjalani hidup dengan lebih baik dapat disusun sekaligus menjadikan bandar Kluang ini bebas daripada gelandangan,” katanya.

Beliau ditemui semasa Program Ziarah Gelandangan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Harapan Mahkota N29 Kluang dan Pertubuhan Amal Kebajikan Masyarakat Kluang (Petak) di sekitar bandar Kluang, malam kelmarin.

Hadir sama Ahli Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Zulkifly Abdul Hamid dan Pengerusi Petak, Zalifah Ithnin.

Mohd Said berkata, antara kawasan yang dilawati adalah Terminal Bas dan Teksi Kluang, bangunan Tabung Haji Kluang, Laman Kreatif Kluang, Kluang Baru, Taman Intan dan Taman Kluang Barat.

Katanya, program seperti ini juga akan dilakukan secara kerap bersama-sama agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu golongan gelandangan yang kini dilihat semakin membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

“Masyarakat juga tidak seharusnya dengan mudah menuding jari dengan menyalahkan mereka (gelandangan) sebaliknya perlu bersama membantu mereka untuk meneruskan hidup dan sokongan moral itu juga penting.

“Kebanyakan gelandangan yang saya temui bukannya tidak mahu berubah, sebaliknya berdepan tekanan hidup secara bersendirian dan pendekatan yang akan dilaksanakan ini diyakini dapat membantu mereka mengubah hidup melalui dorongan semangat dan pendedahan terhadap ajaran agama,” katanya.