Misi pasukan pengaman MALBATT ke Lubnan diteruskan

Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-7 ke misi UNIFIL di Lubnan pada Oktober tahun lalu. - Foto Markas Angkatan Tentera Malaysia
Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-7 ke misi UNIFIL di Lubnan pada Oktober tahun lalu. - Foto Markas Angkatan Tentera Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghantaran pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Lubnan akan diteruskan dalam tempoh penularan pandemik Covid-19 kerana ia adalah komitmen negara kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini bermakna pasukan MALBATT 850-8 yang sedang menjalankan misi pengaman Pasukan Tentera Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) akan meneruskan tugas mereka.

"ATM akan terus menjalankan misi dengan mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) termasuk yang ditetapkan Kerajaan Lubnan dalam usaha menghentikan penularan Covid-19.

"Kerajaan juga akan membekalkan kelengkapan termasuk pelitup muka kepada tentera kita di sana," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perlindungan Covid-19 Kepada Kontinjen MALBATT 850-8 dan Petugas Barisan Hadapan ATM.

Hadir sama, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri berkata, MALBATT tidak akan terlibat dalam penugasan membasmi Covid-19 yang dilaksanakan Kerajaan Lubnan kerana pasukan itu bertugas menjaga keselamatan penduduk di zon ditetapkan.

Sebelum ini MALBATT 850-8 dilaporkan ketika ini berada di Lubnan yang merupakan pasukan siri ke-8 sejak 2007 sebagai pengaman bagi menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB selama 12 bulan bermula 14 November lepas hingga 14 November tahun depan.

Terdahulu pada majlis itu, Ismail Sabri menerima sumbangan sejuta keping pelitup muka daripada Yayasan Dutamas Hijau untuk diagihkan ATM kepada pelajar dan penduduk di Lubnan sebagai sebahagian program Jiwa Murni atau Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) yang dilaksanakan MALBATT 850-8.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menerima sumbangan 50,000 keping pelitup muka dan peralatan lain bagi kegunaan petugas barisan hadapan ATM dalam mengekang penularan Covid-19 daripada syarikat The Pine Villla Sdn Bhd dan syarikat usaha samanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas isu penyeludupan daging beku ke negara ini, Ismail Sabri berkata penguatkuasaan berhubung perkara tersebut adalah di bawah Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.- Bernama