Lelaki Malaysia terlantar kesunyian di Australia

Khaidir sedang menjalani rawatan di Hospital St Vincent, Sydney Australia. Foto:The Sydney Harold
Khaidir sedang menjalani rawatan di Hospital St Vincent, Sydney Australia. Foto:The Sydney Harold
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas jurutera pembinaan dari Malaysia terlantar kesunyian tanpa sebarang pelawat di Hospital St Vincent’s, Sydney di Australia akibat penyakit dermatomiositis sejak enam bulan lalu.

Menurut portal The Sydney Morning Herald, Khaidir Abu Jalil, 34, disahkan menghidap penyakit autoimun yang jarang berlaku itu dengan kadar 50 peratus peluang untuk hidup.

Ketua Bahagian Rheumatologi Hospital St Vincent, Dr Laila Girgis berkata, lelaki tersebut dilaporkan mula sakit pada Februari lepas namun hanya mendapatkan rawatan di hospital terbabit lima bulan kemudian tanpa sebarang diagnosis.

Semenjak Februari, berat badan Khaidir menyusut separuh daripada berat asal sehingga 42 kilogram dengan suhu badan mencecah mencecah 40 darjah celcius setiap hari.

“Tangan dan sikunya diselaputi dengan luka kulit tidak bernanah yang disebut Gottron papules, menyebabkan luka hitam menjadi ulser dengan keadaan paru-paru cepat merosot.

“Ketika dihantar ke sini, dia dalam keadaan parah dan ‘kelihatan mengerikan’ menanggung kesakitan dengan kadar oksigen yang rendah, tidak dapat bernafas dan perlu diintubasi di unit rawatan rapi (ICU).

“Dia juga dikenali sebagai ‘lelaki paling sunyi’ tanpa seorang pun pelawat di hospital ini, di mana tempat ramai orang merasai pengalaman paling teruk dalam hidup mereka,” katanya.

Khaidir sedang menjalani rawatan di Hospital St Vincent, Sydney Australia. Foto:The Sydney Harold
Khaidir sedang menjalani rawatan di Hospital St Vincent, Sydney Australia. Foto:The Sydney Harold

Artikel Berkaitan:

Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19, ahli keluarga dan rakan Khaidir tidak dapat melawatnya di hospital selain lelaki tersebut kehilangan pekerjaan sebagai jurutera di Melbourne serta berkemungkinan menjadi gelandangan kerana masalah visa.

Khaidir difahamkan merantau ke Australia sejak tahun lalu untuk bekerja bagi menyara keluarganya di Malaysia.

Menurut Dr Laila lagi, ketika Khaidir dalam keadaan kritikal di hospital, beliau pernah berhubung dengan ibu lelaki berkenaan yang menggunakan telefon bimbit jiran di Malaysia.

“Kami mengatakan dia kritikal, ibunya menangis ketika saya bercakap dengannya menggunakan telefon jiran,” ujarnya.

Selepas hampir enam bulan menerima rawatan, Khaidir kini semakin pulih, bagaimana pun masa depan lelaki itu tidak menentu.

Khaidir dijangka akan dibenarkan keluar hospital pada hari Krismas ini dan hanya mempunyai tempoh dua minggu untuk tinggal di rumah perlindungan gelandangan yang dikendalikan St Vincents di Darlinghurst.

Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas daripada pihak kedutaan negara di Australia berhubung kisah lelaki berkenaan.