PM tawar jadi individu pertama disuntik vaksin Covid-19

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperoleh negara selamat dan berkesan.

Perdana Menteri berkata, ini akan diikuti oleh petugas barisan hadapan sebelum diberikan kepada kumpulan sasaran iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas serta penghidap penyakit tidak berjangkit dan penyakit saluran pernafasan kronik.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin yang telah ditubuhkan dan dipengerusikan bersama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan memastikan bekalan vaksin dapat diperoleh pada kadar segera.

"Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin daripada Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasaran seawal Februari 2021," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kumpulan pertama bekalan vaksin diperoleh Februari

Jangan ragui vaksin

Vaksin Pfizer berkesan 95 peratus: Khairy

Muhyiddin berkata demikian dalam video perkembangan terkini berhubung pemberian vaksin Covid-19 untuk rakyat Malaysia yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin itu dalam kalangan penerima.

"Sekali lagi saya ingin mengajak anda semua untuk bersama-sama menghayati dan membudayakan normal baharu dalam menjalani kehidupan seharian walaupun setelah kita menerima bekalan dan suntikan vaksin.

"Kita perlu menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana virus ini telahpun berada dalam komuniti," katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengamalkan kebiasaan seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal. - Bernama