Muhyiddin gesa wujud kaedah pelepasan bersyarat, bantu individu muflis

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya mewujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel bagi membantu seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan.

Ujar beliau, kaedah itu boleh dilakukan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama.

“Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) antara tahun 2019-2023, orang Melayu mencatatkan kes bankrap tertinggi sebanyak 58.28 peratus, manakala Cina (24.96 peratus), India (7.91 peratus) dan lain-lain (8.67 peratus).

“Justeru, apakah perancangan khusus yang diambil oleh kerajaan terhadap kes kebankrapan melibatkan hutang melebihi RM50,000, memandangkan hanya sekitar 130,000 (50 peratus) orang daripada 260,000 kes bankrap yang layak untuk mendapat pelepasan kebankrapan mereka?

“Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah 2 kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks perbahasan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tindakan tersebut penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan itu untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

“Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen.

“Pada hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula, maka sekiranya si bankrap telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu yang sesuai dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan,” ujarnya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mempersoalkan keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya di kalangan belia daripada terjerat dengan hutang.

"Ini memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang pada ketika ini. Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang mengenakan kadar caj yang tinggi, jika terlewat bayar ansuran bulanan.

"Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit.

"Jika dilihat dari sudut makro, BNPL boleh memberi kesan kepada kadar hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi iaitu 89 peratus berbanding 2021," katanya.