Kementerian Pendidikan nafi wujud usaha ubah subjek Sejarah

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan menafikan dakwaan wujud pasukan de facto DAP dalam kementerian itu yang mahu mengubah subjek Sejarah sekolah rendah dan menengah.

Dalam satu kenyatan, kementerian berkata, perkara tersebut juga sebelum ini telah disangkal Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Menurutnya, Kurikulum Kebangsaa termasuk subjek Sejarah akan terus kekal, melainkan jika ada cadangan atau saranan baharu daripada Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) dan Jawatankuasa Kajian Semula Dasar Pendidikan Negara (JKD).

"MPPK dan JKD sedang dalam proses menjalankan kajian dan mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan berhubung cadangan dan syor penambahbaikan menyeluruh ke atas pendidikan Malaysia, termasuk dari aspek sistem dan dasar pendidikan kebangsaan.

"Untuk rekod, semakan semula bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah bermula pada 2017, sebelum PRU14 di mana kementerian mengambil usaha berterusan untuk menambahbaik kurikulum sedia ada bagi semua mata pelajaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyatakan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan BukuTeks lantikan sesi kedua telah dibentuk pada 2017.

"Buku Teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah bagi Tingkatan satu, dua dan tiga telah selesai disemak, diteliti serta disahkan bermula 2017. Manakala bagi buku teks KSSR (Semakan2017) Sejarah Tahun empat dan KSSM Sejarah Tingkatan empat masih dalam proses penerbitan.

"Kementerian yakin dan percaya dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan BukuTeks serta ahli-ahli panelnya profesional dalam membuat keputusan sewajarnya berkenaan dengan penggubalan dan penambahbaikan kurikulum Sejarah tanpa pengaruh mana-mana pihak," katanya.

Tambahnya, kurikulum dan buku teks termasuk Sejarah akan diteliti semula berdasarkan pandangan dan laporan akhir daripada MPPK dan JKD.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, kementerian mahu mengulangi bahawa sehingga itu sistem dan dasar pendidikan sedia ada masih kekal. Tulisan yang sedang tular di media sosial merupakan satu tuduhan yang tidak berasas bertujuan memburukkan imej kementerian," katanya.