X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

TMJ rasmi Tunku Mahkota Ismail Youth Centre

Tunku Ismail dan Che' Puan Khaleeda diiringi Hasni melihat kemudahan yang ada di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre, Hutan Bandar di sini hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merasmikan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Johor Bahru dan melancarkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Southern Volunteers Johor Bahru di Hutan Bandar, di sini hari ini.

Sejurus perasmian Tunku Ismail diiringi isteri, Che' Puan Khaleeda Bustamam dibawa melihat tayangan video dan beberapa komponen atau kemudahan di TMIYC antaranya Youth Centre, Rock Yard dan Skatepro.

Putera sulung Sultan Johor itu juga berjumpa dengan ikon-ikon belia sukan Johor dan menasihati mereka supaya terus mengharumkan nama negeri serta menjadi teladan yang baik kepada golongan belia.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud.

Terdapat 11 komponen di TMIYC yang berkeluasan 6.07 hektar manakala Southern Volunteers pula sebagai NGO yang akan menjadi pemangkin kepada budaya kesukarelaan.

Unit Media dan Komunikasi Istana Pasir Pelangi dalam satu kenyataan memberitahu, sejak dilantik untuk mengetuai semua aktiviti belia di Johor oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tunku Ismail telah berusaha memastikan perubahan yang membawa manfaat dan faedah untuk belia.

Tunku Ismail (kanan) diiringi Hasni melancarkan NGO Southern Volunteers di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre, Hutan Bandar di sini hari ini.
Tunku Ismail (kanan) diiringi Hasni melancarkan NGO Southern Volunteers di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre, Hutan Bandar di sini hari ini.

"TMIYC Johor Bahru merupakan realisasi sebahagian daripada visi Tunku Mahkota Johor dalam usahanya memperkasakan pembangunan golongan belia Johor.

"Antara peranan TMIYC Johor Bahru adalah sebagai pusat pembangunan belia perdana di negeri Johor dengan pelbagai kemudahan seperti tempat wall-climbing, skatepark, tapak parkour terbuka, trek joging bertingkat, amfiteater dan tempat beriadah untuk kanak-kanak.

"Terdapat juga ruang acara untuk menganjurkan program perkembangan diri dan aktiviti kumpulan," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, matlamat TMIYC Johor Bahru adalah membuka ruang yang kondusif untuk membolehkan belia Johor mencungkil bakat demi perkembangan diri dan memupuk semangat kekitaan.

"Tunku Mahkota Johor turut mengumumkan bahawa lebih banyak Youth Centre akan dibina untuk memberi manfaat kepada semua golongan belia di setiap daerah Johor," katanya.

Southern Volunteers pula ditubuhkan bagi menggalakkan penyertaan para belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan memberi khidmat kepada rakyat serta negeri Johor.

NGO itu berperanan menjadi pemangkin pembentukan budaya kesukarelawanan dalam kalangan Bangsa Johor dan bakal menjadi gerakan besar-besaran di peringkat akar umbi serta bersedia menggalas apa jua misi kemanusiaan bagi membantu golongan memerlukan.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri akan membina TMIYC di setiap daerah bermula di Muar pada tahun depan khusus untuk pembangunan komuniti, ekonomi dan sosial belia.

TMIYC yang akan dibina itu mengikut kesesuaian dan kecenderungan sukan di sesebuah daerah bagi memastikan kewujudannya dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

"TMIYC dibangunkan denganuntuk menjadi platform bagi komuniti belia menjalankan aktiviti rekreasi dan beriadah secara santai.

"TMIYC juga diwujudkan untuk melahirkan golongan belia Johor yang berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkebolehan dalam pelbagai aspek kehidupan selain mengasah bakat kepimpinan mereka," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian TMIYC Johor Bahru yang disempurnakan oleh Tunku Ismail.

Dalam perkembangan lain, Hasni memberitahu, pihaknya akan mewujudkan sebuah pangkalan data belia Johor dengan peruntukan RM500,000 menerusi agenda Johor Digital.

"Pangkalan data ini akan membekalkan maklumat komprehensif berkaitan golongan belia kepada pembuat dasar negeri ini dalam merangka inisiatif yang lebih berkesan pada masa depan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!