'Jangan sekadar bina stesen, majukan ekonomi setempat' – Sultan Pahang

KUANTAN - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diharap menjadi titik perubahan kepada landskap pembangunan negeri-negeri di Pantai Timur, sekali gus merapatkan jurang kemajuan dengan Pantai Barat Semenanjung.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pembangunan infrastruktur pengangkutan menerusi ECRL dan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) diharap mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan di wilayah berkenaan.
Titah baginda, kemajuan pesat Pantai Barat berbanding Pantai Timur antara lain didorong oleh pembangunan jaringan kereta api dan lebuh raya yang lebih awal.
“Kalau kita perhatikan perbezaan pembangunan di Malaysia sebelah Barat dan sebelah Timur, kita perhatikan sebelah Barat lebih maju dan banyak pembangunan dibandingkan dengan di Pantai Timur.
“Saya ibaratkan terbinanya ECRL ini akan menjadi pencetus perubahan ataupun titik perubahan bagi negeri-negeri di Pantai Timur ini,” titah baginda ketika berkenan menyempurnakan perasmian Stesen ECRL KotaSAS di sini pada Selasa.
Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah dan isteri, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Tujuh stesen ECRL di Pahang perlu dimanfaatkan sebagai hab pertumbuhan ekonomi setempat
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mahu pembangunan tujuh stesen ECRL di Pahang dimanfaatkan sepenuhnya bagi merancakkan kegiatan ekonomi di daerah terlibat.
Titah baginda, kewujudan stesen itu tidak seharusnya terhad kepada fungsi sebagai kemudahan pengangkutan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi setempat.
“Jangan sekadar mempunyai stesen, sebaliknya usaha memajukan kegiatan ekonomi setempat perlu dipergiat khususnya di daerah yang mempunyai stesen kereta api ini,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada pemimpin terdahulu dan semua pihak yang memastikan kesinambungan pelaksanaan projek berkenaan sehingga kini.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemimpin terdahulu dan pihak terlibat secara langsung dalam menjayakan projek ini sehingga mencapai kemajuan pembinaan 99 peratus seperti dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.
“Walaupun pelaksanaannya sedikit tergendala sebelum ini, projek ini berjaya bergerak lebih cepat berbanding jadual yang ditetapkan.
“Syabas dan tahniah kepada Malaysia Rail Link (MRL) dan semua kontraktor terlibat dalam menjayakan projek ECRL ini,” titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan pihak bertanggungjawab terhadap operasi dan penyelenggaraan ECRL supaya sentiasa memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Baginda turut berharap pengoperasian perkhidmatan ECRL berjalan lancar serta mendapat keberkatan ALLAH SWT.
“Saya berharap pihak terlibat dalam penyelenggaraan dan operasi ini sentiasa mengutamakan aspek keselamatan kerana kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

