Panik asap dari atas kedai

Anggota bomba memeriksa keadaan kedai menjual barangan plastik dan makanan ringan di Taman Ria Jaya.
Anggota bomba memeriksa keadaan kedai menjual barangan plastik dan makanan ringan di Taman Ria Jaya.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Nampak pelik macam asap dari belakang kedai, lepas tu kami keluar depan kedai nak tengok, baru perasan asap berkepul-kepul sehingga terbatuk.

Demikian luahan mangsa Nur Syahira Qistina Sahrom, 20, berhubung kejadian kebakaran di kedai menjual barangan plastik dan makanan ringan di Taman Ria Jaya, kira-kira 5.06 petang tadi.

Menurutnya, sebaik sahaja menyedari kedai terbakar, dia bersama rakan sekerja mengambil keputusan menutup suis bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.

"Mujur ada orang ramai yang tolong telefon bomba, sementara nak tunggu bantuan, kami tunggu sahaja di luar kedai tanpa sempat menyelamatkan apa-apa barang," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, kebakaran melibatkan 50 peratus kawasan kedai terbabit meliputi bahagian belakang yang menempatkan stok barang.

Orang ramai turut melihat kejadian.
Orang ramai turut melihat kejadian.

Menurutnya, api kemudian merebak ke bahagian hadapan memusnahkan sebahagian barangan dalam kedai berkenaan.

"Kita menerima panggilan pada jam 5.06 petang oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Operasi melibatkan 14 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dan BBP Amanjaya menggunakan lima buah jentera termasuk EMRS dan Unit motosikal bomba," katanya.

Menurutnya, operasi memadam kebakaran turut mendapat bantuan dari beberapa pasukan bomba sukarela.

Katanya, punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!