Kepentingan BIMP-EAGA

No Image Caption
A
A
A

BRUNEI-Indonesia-Malaysia-Philippines East ASEAN Growth Area atau lebih dikenali sebagai BIMP-EAGA telah dilancarkan 26 tahun lalu pada tahun 1994 di Davao City, Mindanao, Filipina.

BIMP-EAGA kerjasama empat negara anggota ASEAN untuk mempercepatkan proses pembangunan dengan memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama.

Terdapat tiga sebab utama mengapa BIMP-EAGA penting dalam pembangunan dan kerjasama ekonomi bagi rantau Asia Tenggara.

Pertama, dari segi geografi, BIMP-EAGA terdiri daripada Bandar Seri Begawan untuk Brunei, Kalimantan (Balikpapan, Pontianak dan Banjarmasin), Sulawesi (Makassar, Manado dan Bitung), Kepulauan Maluku (Ternate), Papua (Jayapura dan Manokwari) untuk Indonesia, Sabah (Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau), Sarawak (Kuching, Bintulu, Miri dan Sibu) serta Labuan untuk Malaysia dan Mindanao (Davao City, General Santos, Zamboanga dan Cotabato City) serta Kepulauan Palawan (Puerto Princesa) untuk Filipina.

Kawasan berkenaan amat kaya dengan sumber alam semula jadi seperti minyak dan gas asli, hasil hutan serta tanah yang luas untuk perladangan.

Jumlah penduduk di kawasan BIMP-EAGA adalah seramai 57.5 juta orang dan ia salah satu kekuatan BIMP-EAGA dengan adanya pasaran dalaman yang begitu besar.

BIMP-EAGA juga terletak dalam kawasan yang amat strategik kerana dikelilingi lautan yang menjadi sebahagian laluan perkapalan intra-ASEAN dan perdagangan antarabangsa. Lautan berkenaan amat kaya dengan hasil marin seperti perikanan dan rumpai laut untuk dieksport dan menjadi sumber pendapatan bagi penduduk tempatan.

Selain itu, BIMP-EAGA kini menjadi lebih penting kerana pada April 2017, Presiden Indonesia, Presiden Joko Widodo telah mengumumkan kerajaan Indonesia akan memindahkan ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur yang merupakan sebahagian BIMP-EAGA.

Artikel Berkaitan:

Terbinanya ibu kota baharu, sudah pasti akan membawa pembinaan infrastruktur. Pihak kerajaan dan sektor swasta harus bersikap proaktif serta tidak melepaskan peluang untuk membangunkan projek BIMP-EAGA terutama dalam bidang perhubungan dan pengangkutan.

Kedua, BIMP-EAGA merupakan kawasan yang amat berpotensi untuk dibangunkan. Enam industri telah dikenal pasti iaitu industri-agro, perikanan, pelancongan, pengangkutan dan perkapalan serta tenaga.

Bagi industri-agro, BIMP-EAGA sedang membangunkan produk seperti kelapa, minyak kelapa sawit, ternakan dan unggas khas industri daging halal untuk dieksport ke Timur Tengah.

Begitu juga industri perikanan kerana BIMP-EAGA boleh menjadi pusat pengeluaran hasil marin seperti tuna dan rumpai laut.

BIMP-EAGA juga merupakan kawasan destinasi ekopelancongan terkemuka. Ia mempunyai hutan tropika yang menarik dan terumbu karang yang luas.

Sebanyak 22 Tapak Warisan Dunia atau World Heritage Sites berada di EAGA, lapan di Indonesia, Malaysia (lima) dan Filipina (sembilan). Dalam era pacsa-Covid-19, aktiviti pelancongan akan berkembang semula.

Bagi meningkatkan jalinan antara bandar-bandar utama dalam BIMP-EAGA, usaha sedang dijalankan untuk menaik taraf lapangan kapal terbang dan pelabuhan sedia ada. Pembinaan infrastruktur baharu seperti lebuh raya dan pelabuhan baharu dipergiatkan. Anggota BIMP-EAGA juga sedang melaksanakan persetujuan multilateral bagi memudahkan pergerakan rentas sempadan.

Selain itu, kawasan BIMP-EAGA sangat kaya dengan tenaga yang boleh memberi manfaat kepada industri tempatan. Selain sumber minyak, gas asli dan arang batu, BIMP-EAGA berpotensi untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui seperti geothermal, biomas, hidro dan tenaga angin.

Ketiga, BIMP-EAGA merupakan satu-satunya kerjasama ekonomi yang memberi keutamaan kepada penyertaan pihak swasta dan bukan kerajaan sebagai rakan kongsi.

Penyertaan sektor swasta boleh mengurangkan pergantungan kepada kerajaan dan menggalakkan partisipasi penduduk secara langsung dalam program-program pembangunan.

Projek pembangunan BIMP-EAGA juga berkemampuan untuk menyediakan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan ia juga membantu membasmi masalah kemiskinan di kawasan luar bandar.

Oleh itu, BIMP-EAGA harus diberi lebih keutamaan dan memperluaskan kerjasama dengan negara lain seperti China melalui program Belt and Road Initiative (BRI).

*Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya