Empat model tangani masalah penagihan dadah

Zulkifli (kanan) semasa merasmikan Penilaian Program Inisiatif Bersepadu Bagi Menangani Masalah Penagihan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial di Hotel Grand Lexis di sini, hari ini.
Zulkifli (kanan) semasa merasmikan Penilaian Program Inisiatif Bersepadu Bagi Menangani Masalah Penagihan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial di Hotel Grand Lexis di sini, hari ini.
A
A
A

PORT DICKSON - Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menyediakan empat model utama bagi menangani masalah penagihan dadah membabitkan 155 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di seluruh negara.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, daripada jumlah itu 136 melibatkan kawasan di Semenanjung Malaysia, 12 di Sabah dan tujuh di Sarawak.

Katanya, antara yang menjadi tumpuan agensi itu ialah di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), perkampungan nelayan kawasan rancangan Felda dan kawasan bercampur.

"Melalui model yang dikenal pasti ini, kita berharap dapat menangani masalah penagihan dadah, substan dan permasalahan pelencongan sosial dengan lebih berfokus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Penilaian Program Inisiatif Bersepadu Bagi Menangani Masalah Penagihan Dadah, Substan dan Pelencongan Sosial di Hotel Grand Lexis di sini, hari ini.

Tambahnya, AADK juga telah membangunkan satu instrumen untuk mengukur kawasan berisiko tinggi penagihan dadah di negara ini.

“Tiga objektif yang dijadikan sebagai indikator menghijaukan kawasan ialah mengurangkan penagih baharu, meningkatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan, meningkatkan kerjasama dan penglibatan komuniti serta meningkatkan pelbagai agensi pelaksana.

"Kita berharap kerajaan pusat dan kerajaan negeri dapat mengekalkan komitmen terhadap inisiatif ini terutama membantu keperluan sumber logistik dan peruntukan kewangan bagi memastikan kesinambungan Dadah Terkawal 2025 dapat direalisasikan,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Zulkifli, AADK telah menjalankan Projek Rintis sejak tahun lalu membabitkan 12 kawasan yang dipilih dan berjaya memperoleh keputusan yang baik.

“Daripada 12 kawasan merah kini menjadi hijau kecuali Petaling Jaya, Selangor; Pulau Langkawi, Kedah dan Pengkalan Chepa, Kelantan yang bertambah baik ke tahap kuning.

"Indikator pelencongan sosial telah menunjukkan trend yang positif di semua kawasan. Antaranya penurunan jenayah sebanyak 75.9 peratus, aduan dadah menurun 5 peratus, kes ponteng sekolah menurun 11 peratus dan peningkatan 175 peratus jumlah klien menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela," katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli memberitahu, empat faktor utama penyumbang penyalahgunaan dadah dalam masyarakat ialah

masalah kemiskinan, tahap pendidikan yang rendah, normalisasi budaya penggunaan dadah dalam kalangan ahli keluarga dan mudah mendapatkan sumber dadah.