Warga emas rugi RM1.8 juta diperdaya Macau Scam

Pihak polis kecewa atas sikap masyarakat yang masih mudah percaya kepada taktik penipuan Macau Scam walaupun pelbagai kempen kesedaran dibuat.
Pihak polis kecewa atas sikap masyarakat yang masih mudah percaya kepada taktik penipuan Macau Scam walaupun pelbagai kempen kesedaran dibuat.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita warga emas kerugian sebanyak RM1.8 juta disyaki terpedaya dengan sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, mangsa berusia 66 tahun itu tampil membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Jumaat.

"Hasil siasatan mendapati mangsa menerima panggilan daripada sindiket yang menyamar sebagai Pos Laju pada April lalu, mendakwa terdapat bungkusan atas namanya yang mengandungi kad mesin juruwang automatik (ATM) dan MyKad.

"Wanita itu menafikan perkara tersebut sebelum panggilannya itu disambung kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah kononnya untuk membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Muhammad Yazid berkata, suspek yang menyamar sebagai pegawai polis kemudian mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan kes penipuan.

“Takut dengan ugutan dirinya bakal diberkas, mangsa bertindak mengikut arahan suspek dengan memindahkan wang simpanan ke akaun bank yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat pemindahan secara berperingkat ke 29 akaun bank yang diberikan suspek.

“Selain wang simpanan, sebahagian duit itu dipinjam daripada saudara serta rakannya sehingga mencecah jumlah RM1.8 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihaknya kecewa atas sikap masyarakat yang masih mudah percaya kepada taktik penipuan Macau Scam walaupun pelbagai kempen dibuat untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat agar tidak menjadi mangsa.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa rujuk pihak polis, saudara atau rakan-rakan sebelum membuat sebarang transaksi pemindahan ke akaun bank tidak dikenali,” katanya.