Perginya seorang srikandi

Allahyarhamah Tun Rahah dikenali sebagai seorang isteri dan wanita yang cekal, ibu penyayang dan insan berhati mulia.
Allahyarhamah Tun Rahah dikenali sebagai seorang isteri dan wanita yang cekal, ibu penyayang dan insan berhati mulia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Negara hari ini bersedih dengan pemergian ke rahmatullah seorang srikandi negara, Tun Rahah Mohamed Noah yang dikenali sebagai seorang isteri dan wanita yang cekal, ibu penyayang dan insan berhati mulia.

Rahah merupakan figura penting di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara iaitu suaminya, Perdana Menteri kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein serta anaknya Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan Perdana Menteri keenam.

Dilahirkan pada 11 Jun 1933 di Muar, Johor, beliau adalah puteri bongsu kepada seorang ahli politik negara, Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus di Johor Bahru.

Rahah, 87, mendirikan rumah tangga dengan Abdul Razak pada 4 September 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Datuk Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Walaupun beliau menjadi balu pada usia muda, ketika berusia 43 tahun selepas Abdul Razak meninggal dunia pada 14 Januari 1976 akibat leukemia, namun beliau mampu membesarkan lima anaknya sehingga menjadi individu berjaya dalam pelajaran mahupun kerjaya masing-masing.

Sebagai seorang isteri kepada pemimpin utama negara, Rahah banyak memberikan semangat dan perangsang kepada suaminya terutama ketika menghadapi peristiwa darurat di Tanah Melayu dan rusuhan kaum pada tahun 1969.

Beliau juga sering mengiringi suami menjalankan tugas-tugas rasmi negara sama ada di dalam mahupun luar negara.

Memandangkan ayahnya mempunyai pengalaman yang luas dalam politik termasuk pernah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama dan Yang Dipertua Dewan Negara, Rahah banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada ayahnya tentang selok-belok politik.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memainkan peranan yang aktif dalam setiap pilihan raya dengan berkempen dari rumah ke rumah dan berucap di perhimpunan anjuran wanita.

Beliau telah membuktikan bahawa kaum wanita juga boleh memberi sumbangan berkesan kepada pembangunan negara dengan melibatkan diri dalam beberapa kegiatan kaum wanita di negara ini.

Selain itu, Rahah seorang yang aktif dalam pergerakan kaum Ibu UMNO (kini Wanita UMNO) dan pernah menjadi pengasas pergerakan Wanita UMNO Petaling Jaya, selain cenderung dengan kerja-kerja kebajikan khususnya yang memberi manfaat kepada kaum wanita.

Beliau juga adalah penaung Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) yang pertama pada tahun 1969 hingga 1976 selain pernah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Restoran Rakyat dan menjadi Canselor pertama Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada tahun 2001.

Sebagai seorang ibu, Rahah memainkan sebahagian besar peranan dalam mengasuh dan mendidik putera-puteranya.

Setelah Abdul Razak meninggal dunia, Rahah menjadi ibu dan bapa kepada anak-anaknya yang ketika itu masih belajar.

Beliau disifatkan sebagai seorang ibu yang sentiasa memberi sokongan dan bimbingan dengan penuh kasih sayang.

Najib dalam perutusan sempena Hari Ibu sebelum ini berkata, beliau tidak mungkin berada pada kedudukannya sekarang jika tidak kerana sokongan dan kasih sayang ibu yang tidak pernah pudar.

Menurutnya, beliau mengagumi dan terasa kerdil dengan ketinggian peradaban, sikap tenang, kemurahan dan kebaikan hati, kebijaksanaan serta gerak hati ibunya selama ini.

"Ibulah yang telah membolehkan setiap daripada kami memenuhi potensi diri; memenuhi janji cita-cita kami dan menyelusuri laluan yang telah ditentukan sebagai takdir kami," katanya.

Pelbagai penganugerahan darjah dan pengiktirafan diterima Allahyarham; antaranya dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota daripada Kerajaan Persekutuan pada 1976 yang membawa gelaran 'Tun', Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO) dan Anugerah Srikandi daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia serta menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Universiti Utara Malaysia. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tun Rahah diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara

'Tak dapat digambarkan betapa sedihnya saya...'

Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Tun Rahah

Tun Rahah meninggal dunia