X

Kindly register in order to view this article
!

AS cuba kalahkan China dalam 72 jam

A
A

DALAM tempoh sebulan lagi, Joe Biden akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baharu.

Antara perkara utama yang menjadi perhatian di seluruh dunia ialah dasar beliau terhadap seteru utama AS di pentas antarabangsa saat ini iaitu China.

Gambaran awal tentang dasar Biden terhadap China ini boleh dibaca bukan sahaja melalui ucapan beliau sendiri, bahkan juga melalui kenyataan serta pendirian beberapa individu kepercayaan beliau yang dijangka bakal dilantik dalam pentadbiran nanti.

Antara posisi lantikan Biden yang kritikal dalam mencorakkan hala tuju dasar ketenteraan beliau terhadap China kelak pastilah jawatan Setiausaha Pertahanan.

Saat ini, beberapa nama sedang dipertimbangkan, termasuklah Michele Flournoy yang menerima sokongan kuat para penggubal undang-undang Demokrat.

Flournoy terkenal dengan pendirian permusuhan terhadap China, dalam tulisan beliau di jurnal Foreign Affairs, beliau berpendirian bahawa AS seharusnya meningkatkan keupayaan untuk “menenggelamkan kesemua kapal tentera China di Laut China Selatan dalam tempoh 72 jam”.

Pendirian tegas Flourney ini turut dikongsi calon Setiausaha Negara Biden iaitu Antony Blinken yang berpendirian bahawa AS sememangnya perlu mengenakan sekatan terhadap China susulan tingkah laku autoritariannya di Hong Kong.

Bakal Penasihat Keselamatan Nasional Biden pula iaitu Jake Sullivan turut secara terbuka menyeru supaya lebih banyak sumber diperuntukkan kepada pakatan ketenteraan AS bersama negara-negara sekutu yang lain di Laut China Selatan.

Kemuncaknya, Biden sendiri mengulangi tiga perkara yang bakal beliau lakukan bersama-sama sekutu AS iaitu “memberi tekanan, mengasingkan, dan menghukum China”.

Saat ini, kehadiran tentera AS di rantau Laut China Selatan – di bawah perhatian Philip Davidson, komander US Indo-Pacific Command – sememangnya menunjukkan pola peningkatan.

Untuk tahun 2020 ini sahaja, di sebalik pandemik Covid-19, AS telah menjalankan lebih 83 latihan ketenteraan dengan 18 negara berbeza di Indo-Pasifik dengan slogan ‘Free and Open Indo-Pacific’.

Paling signifikan tentulah latihan Malabar yang baru sahaja tamat pada 20 November lalu yang melibatkan AS, India, dan Jepun, di mana dalam edisi ke-24 tahun ini ia turut disertai Australia – pertama kali sejak tahun 2007, sekali gus melengkapkan ‘Pakatan Quad’ yang diketuai AS.

Sekutu

Jika India ialah sekutu AS di Lautan Hindi, Jepun pula ialah sekutu AS di Laut China Timur, manakala Australia pula kini tampil sebagai sekutu kuat AS di Laut China Selatan.

Prospek Biden tambah menarik dengan kehadiran sekutu lama AS pada tahun hadapan iaitu United Kingdom (UK).

Perdana Menteri Boris Johnson pada bulan lalu mengumumkan peruntukan tambahan 16.5 bilion Pound Sterling kepada tentera UK, terbesar sejak Perang Dingin.

Selain itu, Setiausaha Tentera Laut AS iaitu Kenneth Braithwaite turut menyeru supaya Armada Pertama AS diaktifkan kembali selepas empat dekad ia dihentikan operasi.

Rancangan ini jelas sekali bertujuan untuk mengukuhkan kehadiran AS di Indo-Pasifik, khususnya di Laut China Selatan.

Hal ini kerana beban ini sekarang ditanggung Armada Ketujuh AS yang berpusat di Jepun – sekali gus mengurangkan konsentrasi kehadiran AS di kedua-dua Laut China Timur dan Laut China Selatan dalam keadaan China saban hari semakin meningkatkan cengkaman strategik mereka di wilayah ini secara serentak.

Berdasarkan ucapan para pegawai yang bakal dilantik dalam pentadbiran Biden, serta perkembangan negara-negara sekutu AS seperti Australia, UK, Jepun, dan India, kita boleh menjangka bahawa AS akan meneruskan dasar peningkatan kehadiran armada tentera mereka di Laut China Selatan, namun ia belum menjamin kemampuan AS untuk menewaskan China dalam tempoh 72 jam seperti mana yang diharapkan calon Setiausaha Pertahanan Biden.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!