Kerajaan sedia tambah baik proses laksana Belanjawan 2021

Mohd Redzuan berucap pada sesi taklimat perkembangan perniagaan sarung tangan oleh kumpulan Mah Sing di Wisma Mah Sing hari ini. Foto Bernama
Mohd Redzuan berucap pada sesi taklimat perkembangan perniagaan sarung tangan oleh kumpulan Mah Sing di Wisma Mah Sing hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersedia menambah baik proses pelaksanaan bagi setiap perkara yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2021 termasuk isu pengeluaran caruman Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara itu boleh dilaksanakan selagi mana ia tidak lari daripada dasar telah diluluskan.

"Apa yang penting hari ini, kita telah menunjukkan kepada rakyat melalui wakil rakyat dalam dewan bahawa kerajaan serius melaksanakan tanggungjawab untuk sejahtera negara dan juga memberi lebih perhatian kepada rakyat.

"Sekiranya perlu, dalam melaksanakan apa yang diluluskan, (ia boleh) ditambah baik dari segi proses, (selagi) tidak lari daripada dasar yang kita telah bincang dan luluskan.

"Itu tidak menjadi masalah kepada kerajaan dan kita boleh tambah baik segala proses. Contoh dalam membantu rakyat untuk mengeluarkan simpanan KWSP," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Perkembangan Perniagaan Sarung Tangan Kumpulan Mah Sing, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai risiko hilang sokongan daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) susulan Belanjawan 2021 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam hanya dengan majoriti tiga undi.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataan semalam juga berkata, BN masih berpeluang untuk membuat sesuatu kelak sekiranya masih rasa tertipu selepas satu tempoh masa munasabah jika hasrat BN (isu KWSP dan moratorium) tidak tercapai.

Kenyataan itu seolah-olah meletakkan syarat dan memberi kata dua berhubung sokongan BN kepada Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, perkara itu hanya sebagai satu bentuk peringatan namun tidak dilihat akan menjejaskan sokongan dan kelestarian terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kebanyakan mahu negara kita maju ke depan dan meletakkan politik di sebelah. Hakikatnya mereka menyokong," katanya.

Ditanya mengenai persediaan pembahagian kerusi bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) beliau bagaimanapun tidak melihat ia perlu dibincangkan buat masa ini.

"Itu kita bincang kemudian. Kita akan terus berbincang dalam apa saja bentuk persediaan menghadapi PRU15. Tetapi saya rasa dengan adanya sokongan kuat dan dinamik politik sekarang, pendapat saya tak perlu kita lakukan PRU15.

"Apa pun kita sentiasa berbincang dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional untuk memastikan kita bawa kaedah yang boleh memperkasakan pimpinan dan melestarikan pentadbiran dengan menunaikan tanggungjawab yang telah diluluskan oleh Parlimen," katanya.