Perhimpunan dalam norma baharu

A
A
A

PADA penghujung Januari 2021, UMNO dijangka mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di persada bersejarah PWTC, Kuala Lumpur.

Perhimpunan kali ini sememangnya agak luar biasa kerana diadakan dalam suasana norma baharu dan akan memanfaatkan teknologi digital sebagai medium penghubung antara pemimpin serta ahli-ahli parti di setiap akar umbi.

Saban tahun, perhimpunan tersebut dinanti-nantikan oleh setiap ahli dan orang-orang UMNO di seluruh pelosok negara.

PAU adalah medan musyawarah terbesar parti teras orang Melayu-Islam bagi melumatkan segala agenda agama, bangsa dan negara, selain menjadi wahana pengerat silaturahim bagi ahli, perwakilan dan pemimpin di seluruh pelosok akar umbi.

Lebih menarik, kemeriahan PAU selalunya turut dikongsi oleh semua lapisan rakyat Malaysia yang mengunjungi gerai jualan dan pameran yang dibuka hampir seminggu lamanya di setiap aras PWTC.

Barangkali untuk tahun ini, kemeriahan seperti itu tidak lagi menjelma dek kerana negara masih lagi dirundung wabak Covid-19 yang memerlukan penjagaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pun begitu, PAU pada tahun ini juga pastinya berbeza kerana selepas 22 bulan berada di barisan pembangkang Parlimen Malaysia, UMNO kembali ke persada kuasa dan menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Semuanya kerana kegagalan dan keruntuhan tiba-tiba kerajaan Pakatan Harapan (PH), UMNO dengan jiwa besar bagi menyelamatkan nakhoda negara berkompromi dengan parti-parti lain bagi membentuk kerajaan yang baharu.

Artikel Berkaitan:

PAU kali ini juga pastinya berbeza kerana banyak isu yang melibatkan kesusahan dan keperitan rakyat kerana bahana wabak Covid-19 akan dibangkit serta dibahaskan oleh perwakilan UMNO.

Dimensi dan posisi Pergerakan Pemuda UMNO juga pastinya akan lebih peka dan meruntun keazaman untuk terus memperjuangkan untung nasib rakyat bawahan yang kini menghadapi pelbagai kesulitan serta keperitan.

Pastinya juga, PAU pada kali ini akan lebih memperhalusi dan mempertajamkan agenda memperkasa muafakat politik dalam Muafakat Nasional (MN) bersama Pas menuju ke medan pertempuran yang mungkin boleh berlaku pada bila-bila sahaja dari sekarang.

Satu agenda jangka panjang yang perlu diperkasa, diperkukuh dan dipertahankan dari masa ke masa demi kelangsungan penyatuan ummah di Malaysia dan juga bagi mengorak langkah ke arah politik Malaysia yang lebih stabil pada masa akan datang.

Sebagai parti terbesar orang Melayu, Pergerakan Pemuda berasakan UMNO perlu terus mengekalkan kedudukannya sebagai parti teras yang boleh berperanan dalam membentuk kestabilan politik Malaysia.

UMNO tidak perlu tunduk kepada mana-mana desakan dan perundingan untuk mencair serta mengkerdilkan peranan UMNO sama ada pada peringkat pembuat dasar mahupun pada peringkat akar umbi.

Kestabilan politik Malaysia perlu bermula dengan kekuatan teras politik Melayu-Islam yang dibawa oleh UMNO dengan muafakat bersama Pas dalam MN.

Namun, situasi itu bukanlah menggambarkan bahawa UMNO adalah parti yang bongkak, sombong dan angkuh tetapi lebih merupakan realiti bahawa negara perlu bergerak ke depan dengan cepat dan kembali ke acuan sebenar politik yang stabil, merangkul nilai inklusif serta bersifat Malaysia.

Mewakili saf Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, penulis mengucapkan selamat bersidang kepada semua bahagian UMNO di seluruh negara. Bangkitkanlah semboyan Sang Saka Bangsa demi tradisi kita untuk terus membela rakyat hingga akhirnya. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.

PAU kali ini juga pastinya berbeza kerana banyak isu yang melibatkan kesusahan dan keperitan rakyat kerana bahana wabak Covid-19 akan dibangkit serta dibahaskan oleh perwakilan UMNO.”

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia