Inisiatif MADA tingkatkan pendapatan petani

Fouzi
Fouzi
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memperkenalkan pelbagai program untuk meningkatkan pendapatan petani selain berusaha mengatasi permasalahan tanaman padi sejak 50 tahun lalu.

Pengurus Besarnya, Datuk Fouzi Ali berkata, antaranya ialah Program Penanaman Padi Skala Besar yang bermatlamat untuk meningkatkan pendapatan petani dalam industri padi di kawasan Muda.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya berharap inisiatif itu mendapat kerjasama petani serta generasi pewaris sama ada di kawasan Muda mahupun perantauan untuk menyokong MADA ke arah mengkomersialkan industri padi negara.

“Matlamat kita adalah untuk memajukan kesejahteraan hidup sebilangan besar penduduk desa dan melebihkan hasil untuk negara.

"MADA telah memacu industri penanaman padi di kawasan Muda seluas 100,685 hektar bagi menjamin pengeluaran makanan ruji negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Fouzi berkata, sehingga kini, purata hasil padi direkodkan adalah sebanyak 6 metrik tan dengan penanaman padi dua kali setahun.

“Pada tahun 2000, purata hasil padi bagi kawasan Muda ialah 5.7 metrik tan sehektar dengan penanaman padi dua kali setahun berbanding 3.37 metrik tan sehektar pada tahun 1970.

Peningkatan hasil padi ini turut menyumbang kepada peningkatan pendapatan peladang di kawasan Muda,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, berdasarkan tinjauan pada tahun 2018, kurang daripada satu peratus peladang di kawasan itu berada di bawah paras kemiskinan berbanding lebih 70 peratus pada lima dekad lalu.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berusaha keras bagi meningkatkan kepadatan infrastruktur peringkat ladang.

"Bermula dengan Projek Pembangunan Tersier Muda II pada tahun 1979 sehingga 2010, ia diteruskan dengan Projek Pemacu Pertanian sejak tahun 2011 bagi meningkatkan kepadatan infrastruktur di kawasan ini kepada 30 meter per hektar,” katanya.

Fouzi berkata, terkini sebanyak 48 daripada 172 blok pengairan telah ditingkatkan kepadatan infrastrukturnya.

“Golongan petani sentiasa mendapat pembelaan kerajaan. Sejak empat dekad lalu, kerajaan Persekutuan memperkenalkan pelbagai insentif, bantuan dan subsidi kepada penanam padi bagi mengurangkan kos operasi ladang dan insentif bagi meningkatkan hasil padi.

“Antaranya ialah Subsidi Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Skim Insentif Pengeluaran Padi, Subsidi Harga Padi dan Subsidi Benih Padi Sah. Terkini bagi meningkatkan kelancaran pengedaran benih padi sah, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah dilantik sebagai pengedar tunggal bagi mengatasi masalah edaran dan manipulasi harga,” katanya.

Secara keseluruhan, katanya, subsidi dan insentif kerajaan kepada penanam padi di peringkat tanaman dan pengeluaran bernilai RM4,095 sehektar.

“Pengeluaran padi di Kawasan Muda menyumbang kepada hampir 43 peratus pengeluaran padi negara.

“MADA bersama 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan 496 Unit Pertanian Kecil di seluruh kawasan Muda sentiasa berganding erat mengadakan libat urus bersama petani untuk mendengar keluh kesah mereka,” katanya.