Etno-Sains martabat kepakaran masyarakat Melayu

Sebahagian wakil Pertubuhan Kebajikan Etno-Sains Malaysia di Masjid Putera Jaya, Setiu ketika sesi kunjungan ke Terengganu.
Sebahagian wakil Pertubuhan Kebajikan Etno-Sains Malaysia di Masjid Putera Jaya, Setiu ketika sesi kunjungan ke Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Kebajikan Etno-Sains Perubatan Alam Melayu dan Komplementari (Etno Sains) Malaysia yang ditubuhkan 3 Jun lalu menyasarkan lebih ramai ahli pada 2021 bagi mengetengahkan kembali kepakaran dan khazanah masyarakat Melayu di negara ini.

Pengasas dan Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Baharudin Abu berkata, pertubuhan yang menjadi platform masyarakat Melayu itu bukan hanya tertumpu kepada bidang perubatan ia merangkumi semua bidang warisan Melayu termasuk seni bina (rumah, bangunan, kapal), makanan, gastronomi, seni halus seperti tenun, jahit, khat, seni tampak, busana, aksesori, seni ukir, seni bela diri, seni suara dan muzik.

“Pertubuhan ini menyasarkan pertambahan 16,000 ahli di setiap negeri pada 2021 di mana Kelantan antara negeri yang kini dilihat bergerak aktif dalam memberikan kefahaman mengenai bidang ini.

“Kita juga menyasarkan penyertaan golongan muda bagi memastikan kesinambungan ilmu dan kepakaran khazanah Melayu kepada golongan terbabit agar ia tidak tenggelam selari dengan peredaran zaman,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, walaupun baharu ditubuhkan penyertaan dalam persatuan itu mendapat sambutan terutama dalam kalangan individu berusia bawah 30-an dan 40-an dengan rekod seramai 5,000 ahli, tidak termasuk individu yang mendaftar secara manual di setiap negeri.

Katanya, selain memberi fokus untuk menerangkan lebih jelas hala tuju pertubuhan dan pertambahan bilangan ahli, pihaknya juga menyasarkan untuk menubuhkan pusat komersial di setiap negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Kita harap dengan pertambahan pusat komersial ini ia akan membantu kita untuk bergerak dan memartabatkan Etno-Sains Perubatan Alam Melayu di Nusantara.

“Kita juga menggalakkan semua pengamal Etno-Sains Perubatan Alam Melayu untuk bersatu di bawah satu payung dengan hala tuju dan matlamat yang sama iaitu memartabatkan kepakaran dan khazanah warisan orang Melayu di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, seramai 40 wakil Etno-Sains Malaysia termasuk 14 ahli jawatankuasa (AJK) induk yang diketuai Prof Dr Supyan Hussin (Mantan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini masih bertugas sebagai Profesor di Pusat Kajian Bahasa & Linguistik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM berkunjung ke Terengganu.

Turut serta,Timbalan Presidennya, Dr Zaharom Ridzwan.

Kunjungan itu antara lain memberi taklimat mengenai hala tuju dan matlamat Etno-Sains Malaysia.

Selain itu, kumpulan tersebut turut menyampaikan sumbangan 77 kampit beras bagi golongan asnaf di daerah Besut dan 77 kampit beras di daerah Setiu.