Mangsa ajaran sesat di Kenya mungkin lebih ramai

Seorang pemuda yang kelaparan berjaya ditemui di hutan Shakahkola di mana puluhan mayat pengikut ajaran sesat diarah berpuasa sehingga mati. - AFP
Seorang pemuda yang kelaparan berjaya ditemui di hutan Shakahkola di mana puluhan mayat pengikut ajaran sesat diarah berpuasa sehingga mati. - AFP
A
A
A

MALINDI - Kebimbangan semakin meningkat di Kenya selepas jumlah kematian pengikut ajaran sesat yang diarah berpuasa sehingga mati meningkat kepada 73 orang pada Selasa dengan beberapa mangsa diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Sejak Jumaat lalu, polis melakukan pencarian dan penggalian di hutan Shakahkola susulan penahanan paderi Gereja Good News International, Paul Mackenzie Nthenge.

Ketua Polis Kenya, Japhet Koome percaya lebih ramai pengikut gereja itu masih bersembunyi di sekitar Shakahkola dan berisiko mati jika tidak ditemui dengan segera.

Hutan seluas 324 hektar itu kini telah ditutup dan diisytiharkan sebagai lokasi jenayah.

Penyiasat sebelum ini memaklumkan mereka menemui sehingga enam mayat disumbat dalam lubang cetek, manakala yang lain hanya dibiarkan mereput di atas tanah.

Nthenge mengarahkan pengikutnya berlapar sehingga mati bagi membolehkan mereka bertemu dengan Jesus.

Paderi itu yang pernah ditangkap pada 2107 kerana mengarahkan ibu bapa tidak menghantar anak ke sekolah atas alasan pendidikan tidak diiktiraf Bible akan dibicarakan pada 2 Mei ini atas tuduhan membunuh. - AFP