Pegawai Imigresen mengaku terima suapan

Tertuduh mengaku bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan melibatkan jumlah suapan RM3,060 di Mahkamah Sesyen Butterworth tadi.
Tertuduh mengaku bersalah ke atas ketiga-tiga pertuduhan melibatkan jumlah suapan RM3,060 di Mahkamah Sesyen Butterworth tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pegawai Jabatan Imigresen mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,060 dua tahun lalu.

Akashah Roslan, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus selepas kesemua pertuduhan dibacakan.

Norhayati kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 30 hari bagi setiap pertuduhan tetapi dijalankan serentak selain denda RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh yang kini diberi cuti boleh dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Akashah sebagai pegawai Jabatan Imigresen gred KP 19 di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor telah memperoleh wang berjumlah RM3,060 daripada Mohd Azril Azizan melalui akaun CIMB miliknya yang mana dia ketahui Mohd Azril berkaitan dengan kerja pejabatnya.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 22 hingga 14 September 2018 di bank CIMB, Jalan Mahsuri, Bandar Bayan Baru, Georgetown.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), S Silvaranjini dan Mohamad Azlan Basri manakala tertuduh diwakili peguam, Benjamin Tan Yi Bin.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 November lalu, SPRM menjalankan Ops Selat dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan berjaya melumpuhkan aktiviti rasuah melibatkan sindiket yang menyalahgunakan pengesahan cop keluar dan masuk sempadan utama negara.

Difahamkan seramai lapan pegawai Jabatan Imigresen didakwa hari ini dan Rabu di enam negeri berhubung kes tersebut.