Cubaan seludup dadah RM105.9 juta gagal

Mohd Zubil menunjukkan dadah yang dirampas di Perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar pada Khamis lalu.
Mohd Zubil menunjukkan dadah yang dirampas di Perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar pada Khamis lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup 2,118 kilogram (kg) dadah bernilai RM105.9 juta di Perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar di sini pada Khamis lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kejayaan berkenaan hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan pihaknya susulan kejayaan tangkapan kes dadah pada 3 Disember lalu.

Menurutnya, dadah jenis methamphetamine itu dirampas dalam bot rekreasi yang dikelolakan jurumudi warga tempatan berusia 26 tahun.

"Bot peronda mengesan pergerakan bot berkenaan dalam keadaan mencurigakan pada jam 11.30 pagi sebelum mengarahkannya berhenti.

"Namun jurumudi bot itu bertindak memecut laju sebelum nekad terjun ke laut selepas dikejar anggota Maritim Malaysia lebih kurang 30 minit," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Zubil berkata, suspek itu kemudiannya berjaya ditahan di kedudukan 5.3 batu nautika selatan Pulau Kendi, manakala bot yang bergerak tanpa pengemudi itu turut dihentikan.

Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas dadah bernilai RM105.9 juta di Perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar pada Khamis lalu.
Maritim Malaysia Pulau Pinang merampas dadah bernilai RM105.9 juta di Perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar pada Khamis lalu.

"Pemeriksaan dalam bot berkenaan menemui 130 guni berisi 1,998 peket bungkusan teh Cina mengandungi hablur kristal dipercayai methamphetamine," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek bergerak dari Sungai Juru menaiki bot kosong ke Pulau Kendi dan menukarkannya dengan bot berisi dadah sebelum kembali ke Sungai Juru.

Menurutnya, suspek telah melakukan kerja membawa bekalan dadah itu sebanyak tiga kali sebelum ini dengan upah sebanyak RM5,000 bagi setiap penghantaran 500kg.

"Daripada keterangan suspek, bagi penghantaran terakhir ini dia akan diberi upah sebanyak RM10,000 dan bekalan dipercayai untuk ke pasaran Indonesia.

"Kita sedang menyiasat bagaimana bot berisi bekalan dadah itu boleh masuk ke negara ini," katanya.

Sementara itu, Mohd Zubil tidak menolak kemungkinan tangkapan yang dibuat ini mempunyai kaitan dengan rampasan dadah bernilai RM10.53 juta di 3.0 batu nautika barat daya Pulau Betong pada 3 Disember lalu.

Katanya, bot rekreasi bersama dua enjin sangkut bernilai RM150,000 yang digunakan suspek dirampas, manakala suspek direman selama tujuh hari bermula 10 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952.