X

Kindly register in order to view this article
!

Skuter elektrik dilarang di jalan raya di KL mulai 1 Januari

Polis Kuala Lumpur akan mengenakan tindakan undang-undang kepada individu yang menunggang skuter elektrik di atas jalan raya yang menjadi trend baharu orang ramai mulai 1 Januari depan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bermula 1 Januari depan, penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang dan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman-taman permainan, kawasan penjalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.

“Penunggang skuter elektrik tidak dibenarkan untuk menggunakannya di atas jalan raya kerana ia menganggu pengguna jalan raya yang lain, boleh mendatangkan bahaya atau terlibat kemalangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik yang menunggang di atas jalan raya di ibu negara.

Zulkefly menasihatkan pengguna E-Scooter (skuter elektrik) dalam satu operasi didik pengguna skuter elektrik di sekitar kawasan Bukit Bintang malam tadi. - Foto Bernama
Zulkefly menasihatkan pengguna E-Scooter (skuter elektrik) dalam satu operasi didik pengguna skuter elektrik di sekitar kawasan Bukit Bintang malam tadi. - Foto Bernama

“Setakat ini, polis telah mengenal pasti tiga kawasan aktif penggunaan skuter berkenaan di ibu negara, iaitu di sekitar Dataran Merdeka, KLCC dan Bukit Bintang.

“Pihak polis sedang memantau orang ramai yang bermain skuter itu di atas jalan raya dan setakat ini, kami tidak mengambil tindakan dan hanya menasihatkan dahulu sebelum tindakan mula dikenakan pada 1 Januari depan,” katanya.

Katanya, penunggang skuter elektrik perlu memohon lesen kebenaran khas daripada Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jika mahu menggunakan skuter berkenaan di atas jalan raya.

Zulkefly berkata, setelah dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 54 APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua, boleh didenda sebanyak RM1,000.00 atau penjara tiga bulan.

Penggunaan skuter elektrik mula diperkenalkan pada Mei lepas dan kini menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia memudahkan pergerakan khususnya mereka yang berjalan kaki dan menaiki pengangkutan awam.

Kenderaan skuter elektrik tergolong di bawah takrifan Kenderaan Mikromobiliti.

Di bawah pindaan terbaharu APJ (Oktober 2020) Seksyen 2 (b) takrifan bagi kenderaan mikromobiliti bermaksud, ‘mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam.

Terdahulu, Zulkefly mengetuai operasi khas pasukan (JSPT) Kuala Lumpur memberi kempen advokasi dan mendidik penunggang skuter elektrik di tiga lokasi di ibu kota. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!