Peruntukan RM154 juta bina jalan baharu di Kuala Pilah

Eddin (lima kiri) bersama ADUN Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim (empat dari kiri) ketika melihat penanaman sawi projek fertigasi sawi.
Eddin (lima kiri) bersama ADUN Seri Menanti, Datuk Abd Samad Ibrahim (empat dari kiri) ketika melihat penanaman sawi projek fertigasi sawi.
A
A
A

KUALA PILAH - Kerajaan memperuntukkan lebih kurang RM154 juta untuk membina jalan baharu dari Langkap- Tengkek dan Ulu Sepri- Seri Menanti di sini bagi mengatasi masalah jalan sesak di Kuala Pilah.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, peruntukan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu melibatkan kos lebih kurang RM77 juta untuk setiap projek.

"Projek ini merupakan 'Rolling Plan' (RP) pertama untuk Parlimen Kuala Pilah dan tender dijangka dibuka pada Jun tahun depan di mana Jabatan Kerja Raya (JKR) bertindak sebagai agensi pelaksana.

"Usaha ini akan memberi kelebihan kepada penduduk di Jempol dan pengguna jalan raya yang lain berikutan mereka boleh menggunakan jalan ini sebagai laluan untuk mengelakkan kesesakan terutama pada hujung minggu dan hari perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Tuai Hasil Projek Fertigasi Meja Pertumbuhan Kawasan Tanjung Ipoh dan penyampaian sijil kelulusan projek pembangunan usahawan -usahawan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Ipoh di sini hari ini.

Eddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, untuk menaik taraf jalan Kuala Pilah-Seremban turut diambil perhatian bagaimanapun kerajaan sedang meneliti dan mengkaji perkara itu kerana ia melibatkan tanah adat yang memerlukan kos agak besar selain terdapat peniaga di tepi jalan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Eddin berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan lebih kurang RM200 juta bagi membina bangunan baharu di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah bagi kemudahan penduduk mendapatkan perkhidmatan kesihatan terutama rawatan daripada doktor pakar.

Terdahulu, Eddin dalam ucapannya berkata, projek fertigasi di Kuala Pilah merupakan 'pilot project' yang menggunakan konsep pertanian bandar.

"Ini satu inisiatif baik dalam usaha menyokong dasar kerajaan pada hari ini yang berusaha memastikan rakyatnya tidak terlalu bergantung kepada sumber luar terutama sumber makanan seperti sawi," katanya.

Artikel Berkaitan: