17 kluster aktif di Johor

R Vidyanathan
R Vidyanathan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 17 kluster aktif dikesan di Johor sehingga semalam dengan dua kluster terbaru melibatkan Kluster Tenun Merah dan Kluster Jalan Dalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, Kluster Tenun Merah melibatkan Batu Pahat manakala Kluster Jalan Dalam melibatkan Kulai, Batu Pahat dan Johor Bahru.

Menurutnya, bagi Kluster Tenun Merah seramai 287 individu sudah disaring dan 23 kes dikesan positif Covid-19 sehingga semalam.

"Bagi Kluster Jalan Dalam pula seramai 108 individu sudah disaring dan 13 kes dikesan positif Covid-19 sehingga semalam. Kedua-dua kluster itu dikesan 7 Disember lalu melalui saringan individu bergejala," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vidyanathan berkata, kluster lain yang masih aktif ialah Kluster Bandar Impian di mukim Kluang, Kluster Jalan Tampoi (mukim Tebrau), Kluster Cempaka (mukim Sedenak), Kluster Baloi (mukim Pengkalan Raja), Kluster Nibong (mukim Plentong) dan Kluster Gemilang (mukim Tebrau),

Turut disenarai aktif ialah Kluster Tanjung Bunga (mukim Plentong), Kluster Batu 7 (mukim Linau), Kluster Kobena (mukim Tebrau), Kluster Kota Kecil (mukim Kota Tinggi), Kluster Makmur (mukim Kulai), Kluster Kiambang (mukim Tenggaroh).

"Begitu juga Kluster Parit Kassan (mukim Grisek), Kluster Jeri (mukim Sedili Besar) dan Kluster Padang (mukim Ulu Sungai Johor). Pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih lagi giat dijalankan pejabat kesihatan daerah terlibat," katanya.

Menurutnya, semalam sahaja terdapat 100 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini iaitu 61 kes melibatkan kluster sedia ada termasuk sembilan kes daripada dua kluster baharu itu.

Artikel Berkaitan:

Selebihnya kata Vidyanathan, 26 kes daripada saringan kontak rapat kes Covid-19 dan 13 kes daripada lain-lain saringan sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan berjumlah 2,293 kes.

Pada masa sama katanya, 1,386 kes telah pulih iaitu 60.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 879 kes yang aktif menerima rawatan di hospital.

Beliau juga bimbang kerana terdapat peningkatan kes dalam kalangan warga emas berikutan mereka lemah daya tahan terhadap penyakit.

Apabila dijangkiti Covid-19 katanya, peluang untuk pulih tipis termasuk boleh menyebabkan komplikasi yang teruk dan boleh membawa maut akibat tidak mampu melawan penyakit tersebut.